Sekilas
- Puteri Lily Lokman berkongsi tip keibubapaan selepas anaknya, Ara Aziz, berjaya melangkah ke universiti pada usia 15 tahun.
- Beliau tekankan pentingnya ibu bapa jadi sistem sokongan kuat dan sanggup berkorban masa demi pendidikan anak.
- Puteri Lily juga nasihatkan ibu bapa jangan marah anak yang hilang motivasi, sebaliknya bantu mereka faham manfaat belajar.
Pelakon Puteri Lily Lokman berkongsi beberapa tip keibubapaan selepas anak perempuannya, Ara Aziz mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya melangkah ke institusi pengajian tinggi pada usia seawal 15 tahun.
Menerusi perkongsian dalam Threads, Puteri Lily menjawab pertanyaan seorang netizen yang meminta panduan bagaimana dia membesarkan Ara sehingga berjaya dalam pelajaran.
“Ramai mommy dapat soalan macam ini. Bukan tak nak kongsi, tapi tak tahu nak kongsi yang mana satu.
“Mommy rasa perjalanan anak mommy ini masih jauh lagi. Tapi yang asaslah,” katanya.
Menurutnya, perkara paling penting ialah ibu bapa perlu menjadi sistem sokongan terbaik buat anak selain tidak mudah berputus asa dalam memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna.
“Parents kena gigih dan jadi support system paling kuat untuk anak. Jangan give up.
“Contohnya, bila balik kerja penat-penat, kena sambung teman anak belajar di rumah.
“Kalau anak tanya soalan, kita kena jawab. Kalau tak tahu, tanya saja ChatGPT, tapi jangan bagitahu mereka,” katanya.
Tambahnya, ibu bapa juga perlu sanggup berkorban masa demi memastikan anak mendapat peluang belajar yang terbaik.
“Sanggup batalkan rancangan hujung minggu sebab anak ada kelas tambahan.
“Memang kadang-kadang rasa macam nak pontengkan saja, tapi kena kuat,” ujarnya.


Dalam masa sama, Puteri Lily berkata ibu bapa tidak seharusnya memarahi anak yang hilang motivasi, sebaliknya membantu mereka memahami kepentingan menuntut ilmu.
“Bila anak dah malas belajar, jangan terus marah.
“Sebaliknya, sokong mereka dan bagi mereka faham kenapa perlu belajar serta apa manfaatnya.
“Macam Ara, mommy tunjuk pekerjaan yang bergaji tinggi kalau dia belajar bersungguh-sungguh. Boleh beli kereta apa, rumah macam mana dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, Ara Aziz bakal memulakan pengajian peringkat asasi di Manipal University College Malaysia selepas menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) tahun lalu.
Sumber: Threads