Pelakon jelita Rozita Che Wan memanjatkan rasa syukur dan gembira usai majlis pertunangan anak sulungnya, Ammar Effendy Azuar Effendy, 29, bersama pasanban Auni Ikhwan (26) di Lantera Venue pada. 25 Oktober lalu.
Jelas Che Ta, momen berkenaan menjadi lumrah yang harus ditelan kerana percaya kepada fitrah manusia hidup berpasangan.
Advertisement
“Rasa macam baru semalam saya melahirkan dia (Ammar) selepas menempuhi hidup berumah tangga hingga bergelar ibu tunggal. Boleh kata, dia banyak melihat suka duka saya menjalani kehidupan.
“Menjadi anak sulung hingga bergelar abang kepada dua adiknya, dia umpama pelindung kepada saya dan anak. Kini, detik untuk dia pula memulakan kehidupan sendiri bergelar tunangan dan seterusnya diijab kabul bersama bakal isteri kelak.
“Insya-Allah, semoga segala yang dirancang akan dipermudahkan. Kami termasuk keluarga bakal besan pun sepakat untuk tidak membiarkan lama mereka dalam fasa pertunangan,” katanya yang kini kembali aktif berlakon membintangi drama Bahagia Yang Tertangguh arahan Osman Ali di samping Nad Zainal, Kamal Adli, Izzue Islam, Mimi Ernida dan Riz Amin.
Bagaimanapun, demi menghormati kedua-dua belah keluarga, Che Ta memilih untuk tidak berkongsi wajah bakal menantunya.
“Macam permintaan keluarga sebelah sana juga dipenuhi termasuklah untuk tidak lagi berkongsi wajah tunangnya terlebih dahulu.
“Hal sebegini tentunya membabitkan dua keluarga yang masing-masing mengharapkan terbaik untuk Ammar dan Auni. Majlis Kahwin pun beberapa bulan lagi. Pejam celik sudah dekat hari bahagia mereka,” katanya yang turut terbabit membintangi projek filem Anak Mami Jarum Dalca Cinta Kerabu arahan Datuk Prof Dr A Razak Mohaideen.
Majlis bertemakan warna pastel itu, dianjurkan secara sederhana dan ringkas dihadiri sekitar 500 orang tetamu terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat.
Menurut Che Ta, jika tiada aral melintang anak dan bakal menantunya itu akan disatukan pada 26 Jun tahun hadapan.
Untuk rekod, Ammar kini menyandang tugas sebagai pegawai di sebuah premis bank, Manakala Auni bekerja di sebuah syarikat di Dalam bidang pemasaran.
Terdahulu pada majlis pertunangan itu, Hunny Madu diberi tanggungjawab mengemudi majlis. Malah bagi memperoleh keberkatan majlis, Pencetus Ummah Amin juga diundang membacakan doa.
Malah pereka fesyen otai, Man Kajang turut dipertanggungjawab menyiapkan dulang hantaran untuk kedua belah keluarga.