Sekilas
- Fasha Sandha berkongsi pengalaman anak perempuannya, Aisha Amaira, menangis teresak-esak kerana enggan ditinggalkan ketika dia bekerja.
- Keadaan itu membuatkan Fasha terfikir untuk memperlahankan kerjaya lakonannya dan memberi fokus kepada keluarga serta bisnes.
- Walaupun begitu, Fasha tetap mencintai dunia lakonan dan merindui suasana di set penggambaran walaupun sudah biasa bekerja keras.
Pelakon, Fasha Sandha akui kejadian anak perempuannya Aisha Amaira yang menangis teresak-esak kerana enggan ditinggalkan apabila dia bekerja sangat memberikan impak buat dirinya.
Apatah lagi kata Fasha, anaknya itu jarang menunjukkan emosi seperti sedemikian dan tidak pernah menangis seteruk itu.
“Sejujurnya sampai hari ini saya masih rasa berat hati sebab dia tak pernah menangis seteruk itu sebelum ini.
“Video asal sebenarnya lebih panjang, cuma saya tak sampai hati nak muat naik semuanya di media sosial.
“Ada babak dia berguling atas lantai kerana terlalu sedih. Malah, dia juga tak mahu ke sekolah sebab nak ikut saya.
“Emosinya ketika itu memang kuat kerana saya terpaksa tinggalkan dia,” ujarnya.
Fasha berkata demikian ketika ditemui di malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) yang berlangsung di Premiera Hotel, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Jelas Fasha lagi, disebabkan perkara yang itu membuatkan hatinya terdetik seketika untuk memperlahankan kerjaya dalam dunia lakonan.
“Itulah yang membuatkan timbul secebis perasaan mahu tinggalkan dunia lakonan, fokus pada anak dan mungkin buat bisnes.
“Namun, seperti yang saya selalu katakan, lakonan sudah sebati dalam jiwa saya. I love acting so much. Saya pula jenis yang tak suka duduk diam, mesti nak bekerja.
“Orang yang sudah biasa bekerja macam saya memang tak boleh duduk diam. Bila dua bulan tak berlakon, rasa sangat lain. Terus rasa rindu nak kembali ke set penggambaran,” jelasnya.
Untuk info, Aisha merupakan anak hasil perkahwinan Fasha bersama aktor Aidil Aziz, selain dia turut memiliki dua orang cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu.