Anak kepada pelakon, Uqasha Senrose dan Kamal Adli, Hawra Uqaira difahamkan telah dimasukkan ke hospital.
Menerusi satu hantaran di Instagram Stories, Uqasha berkongsi momen bersama puteri sulungnya itu yang kini sedang menerima rawatan di hospital.
“My strong cheeky baby girl,” tulis Uqasha ringkas.
Bagaimanapun, Uqasha tidak berkongsi secara lengkap apa yang terjadi kepada anak perempuannya itu.
Menjengah ke ruangan komen dan perkongsian semula peminat, rata-rata netizen tampil mendoakan agar Hawra Uqaira diberikan kesembuhan segera.
Tidak kurang juga yang menitipkan kata-kata semangat buat Uqasha agar terus kuat menghadapi dugaan yang sedang dilandanya.
Terdahulu, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Uqasha mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Mahkamah turut memerintahkan Uqasha menjalani tempoh idah selama tiga kali suci bermula dari tarikh lafaz talak dibuat serta mendaftarkan perceraian mereka.
Untuk rekod, Uqasha memfailkan permohonan perceraian terhadap Kamal pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, selepas lima bulan bertunang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang dilahirkan pada 27 April 2024.