Pelakon Andy Teh mendedahkan dia sanggup mempelajari asas bacaan al-Quran demi menjiwai watak utama dalam filem biopik Abah Saya, Uncle Mike.
Andy atau nama sebenarnya Andy Teh Kim Huat, 40, berkata, dia mempelajari surah-surah asas meskipun babak mengaji itu hanya membabitkan watak anak-anak angkat kepada Uncle Mike
Advertisement
“Adalah sikit saya belajar mengaji al-Quran, surah al-Nas.
“Walaupun babak mengaji tu hanya membabitkan mereka (anak-anak angkat Uncle Mike), tapi saya sebagai bapa (Uncle Mike) kena tahu kalau bacaan mereka salah, bagaimana saya nak respon dan sebagainya,” katanya menerusi podcast Confession Bilik Gelap.
Menurut Andy, sebagai seorang bukan Islam, dia berusaha memahami cara bacaan dan beberapa aspek ibadah umat Islam untuk menjayakan peranannya dengan lebih berkesan.
“Saya nak faham dari sudut agama Islam sebab saya Cina. Memang saya ada ramai kawan Melayu tapi saya tak berapa tahu secara mendalam tentang agama Islam.
“Jadi saya banyak bertanya dan belajar mengaji bagaimana, solat macam mana dan sebagainya. Saya cuba belajar banyak benda sebab ia akan bantu saya dalam lakonan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, proses pembelajaran itu dilakukan dengan bantuan pengurusnya serta rujukan di platform YouTube.
“Saya belajar dari pengurus saya, dia orang Melayu. Mereka yang ajar Alif Ba Ta dan sebagainya.
“Bagi budaya Melayu secara kasar saya dah tahu, cuma bab agama saya tak berapa. Bagi saya perkara ini penting untuk membina watak Uncle Mike dalam filem ni.
“Cara saya nak mendalami sesuatu watak adalah saya betul-betul masuk dalam watak tu,” jelasnya.
Filem Abah Saya, Uncle Mike arahan Ezrie Ghazali dan tulisan Muzzamer Rahman turut dibintangi oleh Idan Aedan, Merah Muhaimin dan Umar Shakur. Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 28 Ogos 2025.
Sumber: Youtube Confession Bilik Gelap