Sekilas
- Harris Anuar berkongsi video lama dua tahun lalu ketika berbual dengan Ezwan Zain, suami Erra Fazira, yang kini menjadi kenyataan.
- Mereka sudah lama bersahabat dan Harris menganggap video itu sebagai kenangan istimewa antara mereka.
- Harris memuji Ezwan sebagai seorang yang peramah, matang, dan sentiasa memberi nasihat serta sokongan kepadanya.
Pempengaruh Harris Anuar tidak menyangka ‘borak kosong’ dengan suami kepada Primadona, Erra Fazira iaitu Mr. E atau Ezwan Zain pada dua tahun lalu kini menjadi kenyataan.
Sudah lama bersahabat baik, Harris memberitahu dia berkongsi video tersebut kerana menganggap ia satu kenangan antaranya dengan Ezwan.
“Saya memang tak sangka, sebab memang kami hanya borak kosong saja ketika itu. Lagipun video itu dari dua tahun lalu, lama dah.
“Saya sendiri dah tak ingat macam mana boleh kami bersembang mengenai Erra. Bagi saya, video itu adalah kenangan saya dengan abang Wan.
“Saya memang sangat rapat dengan dia, dah macam adik-beradik. Alhamdulillah, saya memang tumpang gembira dengan mereka berdua,” katanya kepada Gempak.
Sebelum ini, Harris berkongsi video dia sedang berbual dengan Ezwan yang ‘berangan’ merancang perkahwinan dengan Erra meskipun ketika itu mereka belum mengenali satu sama lain.
Dalam pada itu, Harris turut mendedahkan keperibadian Ezwan yang bukan sahaja mempunyai wajah yang kacak malah suami Erra itu juga seorang yang peramah.
“Ezwan ini seorang yang sangat peramah, dia juga good-looking, manis dan bila saya ada masalah, dia akan sentiasa nasihat saya.
“Dia orang yang sangat senang untuk berbual. Dia juga seorang yang soft-spoken, sangat matang dan apa saja visi atau misi yang dia tetapkan, mesti menjadi,” ujarnya.