Sekilas
- Aqasha kembali membawa watak Hang Tuah dalam Puteri Gunung Ledang The Musical selepas 20 tahun, kini dengan tanggungjawab lebih besar sebagai peneraju utama.
- Beliau menjalani uji bakat tertutup dan latihan fizikal intensif termasuk tarian dan seni persilatan untuk memastikan persembahan yang mantap dan konsisten.
- Aqasha melihat watak Hang Tuah dengan perspektif lebih mendalam, menekankan penghayatan emosi, konflik dalaman, dan kesetiaan dalam pementasan ini.
Dua dekad lalu, Aqasha pernah berpeluang menjadi understudy atau pelakon gantian untuk watak Hang Tuah. Kini, pada usia 44 tahun, beliau kembali ke pentas Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL The Musical) dengan tanggungjawab lebih besar sebagai peneraju watak pahlawan Melayu itu.
Namun, pemilihan Aqasha bukan sekadar kisah seorang pelakon yang akhirnya memperoleh peluang selepas menunggu selama 20 tahun.
Ia turut menjadi ruang untuk beliau memperlihatkan kematangan seni, penghayatan watak dan kemampuan fizikal yang diperlukan bagi menghidupkan karakter ikonik berkenaan.
Sebelum ini, watak Hang Tuah diterajui Stephen Rahman-Hughes, manakala Aqasha berpeluang membawa watak sama sebagai pelakon gantian dalam satu persembahan khas bersama Baby Erinz
Bagi Aqasha, pengalaman terdahulu bersama produksi itu memberikan asas penting, tetapi beliau tetap perlu melalui uji bakat tertutup bagi membuktikan dirinya masih sesuai untuk membawa watak yang menuntut komitmen tinggi itu.
“Walaupun mempunyai pengalaman lalu, untuk pementasan kali ini saya tetap melalui sesi uji bakat tertutup (closed audition).
“Pihak produksi perlu melihat semula kemampuan dan tahap kecergasan fizikal saya sama ada masih bersesuaian atau sebaliknya,” kata Aqasha yang ditemui usai pra tonton eksklusif latihan PGL di Enfiniti Academy.
Lebih menarik, Aqasha memberitahu beliau
menghubungi penulis skrip PGL edisi dahulu, Adlin Aman Ramlie sebelum diberi ‘restu’ oleh karyawan seni tersebut.
“Selepas mendapat restu, saya pergi uji bakat,” katanya.
Kini, selepas melalui perjalanan seni yang panjang, Aqasha melihat watak Hang Tuah dari perspektif yang jauh berbeza, khususnya dari segi penghayatan emosi dan konflik dalaman seorang pahlawan yang tersepit antara amanah, kesetiaan dan cinta.
“Dua puluh tahun lalu, definisi dan tafsiran saya berbeza kerana tumpuan lebih terarah kepada pembentukan zahir seorang laksamana serta lontaran vokal nyanyian. Namun kini, pada usia pertengahan 40-an, saya melihat watak ini memiliki dimensi yang jauh lebih lebar, dalam dan luas.
“Ia bukan sekadar aksi, sebaliknya tentang erti kesetiaan kepada Sultan dan kesetiaan kepada cinta peribadi. Pengajaran terbesar yang saya kutip daripada Hang Tuah ialah sifat sabar dan tabah meletakkan tanggungjawab serta amanah mendahului kehendak peribadi,” jelasnya.
Keupayaan membawa watak sebesar Hang Tuah juga menuntut lebih daripada sekadar penghayatan emosi. Aqasha perlu memastikan lakonan, nyanyian dan pergerakan fizikalnya dapat bergerak seiring sepanjang persembahan yang berlangsung secara langsung di hadapan penonton.
Malah, beliau mendedahkan cabaran paling besar adalah menguasai tarian dan seni persilatan, memandangkan kedua-dua elemen itu memerlukan ketepatan pergerakan serta stamina yang konsisten.
Bagi mempersiapkan diri menghadapi 20 malam pementasan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square, bermula 31 Oktober hingga 15 November ini, Aqasha memulakan latihan fizikal intensif sejak dua bulan lalu.
Ia merangkumi rutin gimnasium, senaman regangan dan pengukuhan seni persilatan bagi membina penampilan serta ketahanan fizikal seorang laksamana.
“Tarian dan silat adalah cabaran terbesar kerana saya bukan seorang penari. Saya perlu menghafal petak pergerakan, langkah tari dan bunga silat. Penonton yang arif dalam seni persilatan pasti dapat mengesan jika pergerakan itu kelihatan canggung atau sumbang,” katanya.
Menurutnya lagi, persembahan teater juga menuntut disiplin berbeza berbanding lakonan di hadapan kamera kerana setiap gerak tubuh, ekspresi dan penyampaian emosi perlu dizahirkan secara langsung tanpa peluang mengulang babak sekiranya berlaku kesilapan.
Beliau turut memuji pendekatan produksi yang memberi penekanan terhadap proses pendalaman watak, bukan sahaja kepada pelakon utama, malah seluruh barisan ensembel yang terlibat dalam pementasan itu.
Dari segi struktur penceritaan, Aqasha menjelaskan watak Hang Tuah hanya merangkumi sekitar 30 peratus dalam babak pertama, sebelum konflik dan perkembangan karakter itu lebih terserlah dalam babak kedua.
Tanggungjawabnya turut melibatkan pembinaan keserasian dengan Aisha Retno dan Mila Mohsin yang berkongsi watak Gusti Puteri secara bergilir-gilir.
Walaupun membawa karakter yang sama, kedua-duanya mempunyai pendekatan serta energi tersendiri yang memerlukan Aqasha menyesuaikan dinamik lakonannya.
Dalam pada itu, Aqasha sedar penonton mungkin membandingkan interpretasinya dengan pelakon terdahulu yang pernah menghidupkan watak Hang Tuah, termasuk Tan Sri P. Ramlee, Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah dan Stephen Rahman-Hughes.
Bagaimanapun, beliau tidak melihat legasi nama besar itu sebagai sesuatu yang perlu ditandingi, sebaliknya sumber inspirasi untuk membentuk persembahan yang menghormati tafsiran terdahulu sambil memberikan sentuhan peribadi.
“Saya sendiri adalah peminat kepada mereka. Jika penonton melihat persembahan saya nanti, saya menganggap diri saya umpama sebuah ‘kompilasi’ penghormatan kepada semua Hang Tuah yang pernah disaksikan sebelum ini,” katanya.
Menjelang pementasan, Aqasha mengakui persiapan watak itu semakin menguasai fikirannya sehingga waktu rehat turut terjejas kerana memikirkan pergerakan pentas, tempo lakonan, gerak silat dan tuntutan emosi.
“Malam tidur pun tidak lena kerana fikiran sentiasa ligat memikirkan dinamik lakonan, blocking, tempo bersama rakan pelakon, gerak silat serta tuntutan emosi. Boleh dikatakan setiap hari jiwa saya hidup dalam watak Tuah,” katanya.