Pelakon, Arena Wan akui pernah menolak beberapa tawaran lakonan kerana tidak selesa untuk melakonkan babak di dalam drama berkenaan.
Menurut Arena atau nama lengkapnya Arena Wan Mun-Yi Iman Wan,26, keputusan itu bukan kerana takut dengan kecaman warganet, sebaliknya kerana ingin menjaga harga diri dan maruah sebagai seorang wanita beragama Islam.
“Sebenarnya saya pernah tolak beberapa tawaran disebabkan ada babak-babak yang saya tak boleh nak buat dimana saya harus memakai pakaian yang agak seksi. Seperti yang kita tahu platform OTT untuk censhorship itu kurang sedikit berbanding TV.
“Jadi pada ketika itu skrip dan pakaian yang harus saya pakai membuatkan saya rasa tidak selesa dan saya memang memberitahu kepada pengarah secara personal yang saya tak boleh buat babak itu dan syukur dia memahaminya.
“Saya tak buat bukan takut kerana komen netizen namun saya menjaga maruah saya sebagai seorang wanita dan muslim. Jadi saya perlu letak batas-batas itu dalam lakonan saya,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Arena turut menjelaskan bahawa dia sentiasa meneliti setiap tawaran yang diterima sebelum bersetuju untuk terlibat dalam sesebuah projek.
Baginya, perbincangan terbuka antara pelakon dan pihak produksi amat penting bagi memastikan setiap babak dapat disampaikan dengan berkesan tanpa menjejaskan prinsip diri.
“Setiap project yang saya terima memang saya akan check dulu tawaran itu, watak saya apa, proses dan sebagainya. Saya juga akan tanya apa yang mereka mahukan daripada saya untuk menjayakan babak tersebut kerana dalam bercinta untuk satu-satu babak perlu ada boundaries.
“Memang kita sebagai pelakon we try to make it look as realistic untuk penonton percaya tapi jika apa yang diminta itu agak lebih bagi saya, sudah semestinya saya akan bincang dengan pengarah, pairing saya terlebih dahulu untuk jayakan watak tersebut.
“Saya selalunya akan beritahu kepada mereka jika saya tak selesa dan cuba elak sebaik mungkin daripada melakonkannya tapi atas perbincangan bersama dengan pihak produksi,” ujarnya.