Sekilas
- Intan Serah berkongsi pengalaman melakonkan watak Lily dalam drama PL, I Love You yang mengajarnya tentang pentingnya hormat dan sayang dalam hubungan walaupun berbeza pendapat.
- Drama ini mengisahkan konflik cinta antara penyokong tegar Arsenal dan Chelsea, dengan elemen amnesia yang menambah drama dalam jalan cerita.
- PL, I Love You disiarkan setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam di Astro Ria dan sooka, menampilkan pelakon seperti Kamal Adli dan Intan Serah.
Atlet sukan negara yang kini bergelar pelakon, Intan Serah berkongsi pengalamannya ketika melakonkan watak sebagai Lily menerusi drama terbaharu berjudul PL, I Love You.
Menurut Intan, watak tersebut banyak mengajarnya mengenai kisah cinta antara sesama insan biarpun sebelum ini karakter tersebut mempunyai minat mendalam terhadap dunia bola sepak.
“Pada saya perkara yang penting, meski berbeza pendapat kita tetap hormat dan sayang antara satu sama lain,” ujarnya.
Malah, kata Intan watak tersebut turut mengajarnya bahawa pasangan mempunyai pengaruh yang besar terhadap satu sama lain dalam sesebuah hubungan.
“Kerana saya percaya sebagai orang yang hidup berpasangan, secara tidak langsung kita memang akan mempengaruhi pasangan kita.
“Tapi apa yang lebih penting daripada sibuk mengubah pasangan adalah saling melengkapi, menerima seadanya lalu bertumbuh bersama selagi ia tidak memudaratkan,” katanya.

Selain Intan, PL, I Love You juga turut dibintangi oleh Kamal Adli, Intan Serah, Evertts Gomes, Theebaan G, Hawa Rizwana, Nina Jasmin dan Sean Lee.
Saksikan PL, I Love You setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam di Astro Ria dan sooka.
Sinopsis:

Apa yang berlaku apabila seorang penyokong tegar Arsenal cuba mengubah bekas teman lelakinya yang begitu setia kepada Chelsea?
Lebih menarik, lelaki itu bukan sahaja enggan menukar kesetiaan kepada kelab bola sepak kegemarannya, malah mengalami amnesia.
Itu antara konflik yang diketengahkan menerusi drama romantik komedi PL, I Love You, arahan terkini pengarah Michael Ang.
Drama lapan episod berdurasi sejam itu mengangkat kisah percintaan yang diselangi perseteruan dua kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Chelsea.
Lily yang dijayakan Intan Serah merupakan seorang peguam dan penyokong tegar Arsenal yang masih berpegang kepada impian arwah bapanya supaya dia berkahwin dengan seorang lelaki yang juga penyokong The Gunners.
Namun, pilihan hatinya, Adam (Kamal Adli), bukan sahaja penyokong setia Chelsea, malah mempunyai sejarah peribadi yang membuatkan dia begitu membenci Arsenal.
Adam yang merupakan pemilik bengkel kereta kemudiannya berdepan satu kejadian yang mengubah kehidupannya apabila dia tergelincir lalu jatuh dan mengalami kehilangan ingatan.