Skip to main content

Berita Tempatan

Asmidar, Norzizi & Alumni ASWARA Hidupkan Legenda Cik Siti Wan Kembang Dalam Teater Muzikal Paduka Cik Siti - "Tak Banyak Karya Selami Ketokohan Dirinya"

ciksiti

Sekilas

  • ASWARA dan Persatuan Alumni ASWARA akan mementaskan Teater Muzikal Paduka Cik Siti selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Disember 2025 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.
  • Teater ini mengangkat kisah legenda Raja wanita Melayu, Cik Siti Wan Kembang, dengan barisan pelakon termasuk Asmidar Ahmad dan Dr Norzizi Zulkifli.
  • Pementasan menggabungkan elemen tradisi dan moden untuk memperkenalkan sejarah dan kepahlawanan Cik Siti Wan Kembang kepada generasi muda dengan tiket boleh dibeli di cloudjoi.com.

ASWARA bersama Persatuan Alumni ASWARA kembali menyemarakkan pentas seni tanah air dengan naskhah terbaharu, Teater Muzikal Paduka Cik Siti yang bakal dipentaskan secara eksklusif selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Disember 2025 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.

Produksi berskala besar ini mengangkat kisah epik legenda Raja wanita Melayu, Cik Siti Wan Kembang, yang terkenal dengan kebijaksanaan, keberanian dan ketegasan mempertahankan negeri serta maruah rakyatnya.

Penerbitan ini turut menampilkan barisan pelakon berbakat besar termasuk penyanyi Asmidar Ahmad sebagai Cik Siti Wan Kembang, Dr Norzizi Zulkifli sebagai Seri Banun, selain Taqim Zaki selaku Panglima Merah, Syukor Ibrahim Bachik dan Shahrul Mizad sebagai Raja Siam.

Rektor ASWARA, Prof Dr Tan Awang Besar, menegaskan bahawa sudah tiba masanya kisah-kisah agung wanita Melayu seperti Cik Siti Wan Kembang ditafsir semula dalam bentuk persembahan kontemporari agar terus relevan kepada generasi hari ini.

“Kisah Cik Siti Wan Kembang ini legenda. Namun melalui pementasan, kita menterjemahkan kehebatannya sebagai pemerintah, sebagai wanita, dan sebagai simbol hubungan antara negeri-negeri serantau. Tidak perlu meniru cerita asal sepenuhnya, tetapi mengangkat semangat dan keindahan sejarah itu,” katanya.

Menurut beliau, pementasan kali ini akan memperlihatkan sisi kepahlawanan Cik Siti Wan Kembang termasuk bagaimana tokoh itu berdepan ancaman Raja Siam, cabaran politik, serta tekanan sebagai wanita yang memegang takhta.

Katanya lagi, naskhah ini diharap dapat memperkenalkan tokoh ikonik seperti Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong kepada anak muda yang mungkin kurang mengenali sejarah warisan Kelantan.

Pengarah produksi, Che Kem, pula menegaskan bahawa teater muzikal ini menggabungkan kekuatan tradisi dan pendekatan moden agar lebih dekat dengan penonton masa kini.

“Kita selalu menyebut Cik Siti Wan Kembang sebagai srikandi, tetapi tidak banyak karya yang benar-benar menyelami ketokohan dirinya. Dalam pementasan ini, kita teroka kesaktian, kebijaksanaan dan kekuatan sebenar seorang pemimpin wanita,” katanya.

Beliau turut berjanji bahawa beberapa elemen pentas yang spektakular akan dipersembahkan, meskipun proses transformasi auditorium sedia ada kepada pentas teater berskala besar merupakan cabaran utama produksi.

Teater Muzikal Paduka Cik Siti akan membuka tirai dengan Malam Gala pada 19 Disember jam 8.30 malam. Persembahan diteruskan pada 20 Disember (3 petang dan 8.30 malam) serta 21 Disember (3 petang).

Harga tiket adalah seperti berikut:
Paduka Cik Siti (RM150), Seri Banun (RM120), Prasat Thong (RM80) dan Puteri Saadong (RM40 – concession).
Pembelian tiket boleh dibuat menerusi cloudjoi.com.

Must-Watch Video

Advertisement