Ketika dunia hiburan semakin berkembang pesat di rantau Asia Tenggara, Astro Malaysia tampil sebagai antara pemain utama yang giat memperkukuh kedudukannya dengan menghasilkan kandungan yang bukan sahaja berjiwa tempatan tetapi turut berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.
Menurut Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario, strategi utama yang menjadi teras kepada setiap projek Astro adalah memastikan ia benar-benar relevan dengan penonton tempatan sebelum dikembangkan ke peringkat serantau dan global.
Advertisement
Agnes juga menjelaskan bahawa setiap genre mempunyai kekuatan tersendiri dalam menarik perhatian penonton di pelbagai negara ASEAN.
“Semuanya bermula dengan soal relevansi tempatan. Kita perlu pastikan sesuatu kandungan itu berfungsi di pasaran domestik dahulu sebelum dibawa ke luar negara.
“Kalau genre seram, kita tahu ada pasaran di ASEAN. Begitu juga dengan animasi, ASEAN memang terkenal menghasilkan animasi hebat dan filem seperti Jumbo membuktikan perkara itu. Malah kami di Astro bakal melancarkan Papazola, sambungan kepada dunia BoBoiBoy yang dijangka terus menarik minat penonton di pelbagai negara,” kata Agnes.
Agnes turut menekankan kepentingan pembangunan kandungan berskala besar dan multi-platform yang membolehkan sesebuah intelektual harta (IP) berkembang menjadi ‘universe’ tersendiri lengkap dengan watak-watak, filem, siri spin-off dan produk komersial lain.
kelebihan Astro ialah memiliki keupayaan menyeluruh dari peringkat idea hingga penerbitan, termasuk pengurusan bakat, penghasilan muzik tema, filem, siri sampingan dan pelbagai produk derivatif yang boleh dijadikan sumber pendapatan tambahan.
“Kebolehskalaan datang daripada kandungan pelbagai platform. Kita mahu bina dunia karakter supaya ada jangka hayat panjang dan aliran pendapatan berterusan,” katanya lagi.
Dalam usaha memperluas capaian dan bersaing dengan penerbit global, Agnes turut menyeru agar pembiayaan rentas sempadan antara negara-negara ASEAN diperkuatkan.
“Kita perlu wujudkan lebih banyak dana bersama merentas sempadan, kerana sukar untuk satu negara sahaja mengendalikan kos produksi besar. Dengan populasi 600 juta di ASEAN, kita mempunyai potensi besar untuk menghasilkan projek yang boleh menyaingi filem berskala antarabangsa,” ujarnya.
Dia menegaskan bahawa matlamat jangka panjang bukan sekadar untuk menjadikan ASEAN sebagai pasaran hiburan yang kukuh tetapi sebagai ‘soft power’ yang mampu mempengaruhi dunia.
Astro Tegas Menentang Isu Cetak Rompak
Dalam perkembangan lain, Agnes juga menegaskan bahawa semua usaha ini tidak akan bermakna sekiranya industri terus terjejas akibat aktiviti cetak rompak yang semakin berleluasa.
Agnes menyeru agar dasar dan penguatkuasaan serantau diperkuat, selain meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya dan kesan cetak rompak terhadap industri kreatif.
“Kita perlu bersatu menentang cetak rompak kerana ia adalah satu bentuk kecurian. Industri ini akan musnah kalau isu ini tidak ditangani dengan serius.
“Kita perlukan polisi yang sama rata di seluruh ASEAN serta pendidikan yang lebih meluas mengenai isu ini. Walau sebaik mana strategi kita, jika cetak rompak masih berleluasa, industri tetap akan rugi,” tambahnya.