Selepas sekian lama tidak menerbitkan naskhah bergenre seram, Astro Shaw kembali dengan filem terbaharu Malam Terlarang yang menjanjikan pengalaman menonton penuh misteri, emosi dan ketegangan.
Ketika ditemui Gempak, pencipta dan penerbit kreatif, Hazo Mahayuddin menyifatkan karya ini sebagai satu perjalanan jiwa yang digarap bersama seluruh tenaga produksi.
“Malam Terlarang ini merupakan karya yang mempunyai banyak elemen jiwa yang digabungkan.
“Ada jiwa saya, Labu dan beberapa lagi HOD tapi tugas saya sebagai creative producer adalah untuk meletakkan segala jiwa ini dan susunnya supaya selari dan menjadi satu gabungan sempurna dan saling melengkapi,” katanya kepada Gempak.
Menurut Hazo, mandat untuk menghasilkan filem seram ini datang terus daripada pihak Astro Shaw, yang mahu kembali meneroka genre yang sekian lama tidak disentuh selepas kejayaan filem Pusaka.
Dalam pada itu, Hazo mengakui fasa perancangan Malam Terlarang berlangsung dengan cukup intensif dan panjang sebelum tiba ke set penggambaran.
“Kami menerima mandat untuk mengetengahkan filem seram kerana di Shaw kita sudah lama tidak eksplorasi filem seram baharu. Filem seram terakhir kita adalah Pusaka dan saya sememangnya suka dengan genre ini jadi ia ibarat satu peluang buat saya.
“Proses kita disini agak intensif, selepas dapat mandat itu kami terus adakan Horror book camp bersama Alfie Palermo dan disitu kita bincang dan mengeluarkan serta memberikan idea. Tak boleh sayang idea memang kena bagi sahaja jadi selepas berpuluh-puluh idea akhirnya kita dapat tiga.
“Sebenarnya proses di sebalik tabir lebih panjang daripada apa yang kita lihat. Proses ini bukan bermula time shooting namun perancangan dan startegi konten itu sendiri,” ujarnya.
Malam Terlarang mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 30 Oktober, menampilkan gabungan elemen seram, misteri dan emosi yang pasti membuat penonton tidak senang duduk di tempat masing-masing.
Advertisement
Diarahkan oleh Nurhanisham Muhammad (Labu), filem ini turut dibintangi barisan pelakon hebat termasuk Shasha Abedul, Zul Ariffin, Sofea Jane, Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Haneesya Hanee dan Hasnul Rahmat.