Penyanyi, Atilia Haron akui pernah menerima tawaran untuk menyertai program hiburan Gegar Vaganza (GV) satu ketika dahulu.
Bagaimanapun, jelas Atilia atau nama lengkapnya Atilia Raja Haron jika tawaran itu hadir sekali lagi dia mungkin tidak akan melakukannya kerana takut melihat komitmen yang harus diberikan sekiranya sudah bergelar bintang GV.
“Dulu pernah menerima tawaran untuk sertai Gegar Vaganza tapi saya rasa itu producer lain tapi sekarang tiada dapat tawaran lagi.
“Kalau ada pun saya rasa saya tak akan sertainya sebab takutlah nanti saya pulak pengsan kat situ dengan komitmen bertanding semua,” katanya kepada Gempak.
Mengulas lanjut, Atilia menjelaskan faktor kesibukan jadual dan komitmen peribadi membuatkan dia tidak yakin mampu memberikan fokus penuh jika menyertai GV.
“Saya takut saya stress itu sahaja. Lagi pun saya ada kelas Yoga yang saya buat lepas tu ada show-show juga yang panggil saya untuk buat persembahan jadi saya takut saya tak boleh beri komitmen untuk GV kalau saya sertai,” tambahnya.
Sekadar info, program Gegar Vaganza kini sudah masuk musim ke-12.
Penganjuran Gegar Vaganza pada tahun ini masih mengekalkan Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS selaku juri.
Acara yang berlangsung selama 12 minggu ini akan dikendalikan oleh pengacara hebat Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.
GV12 bersiaran secara langsung di MBSA Shah Alam mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam, dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104).