Sekilas
- Auddra Zulkifli atau Oddah tidak ambil peduli pandangan negatif netizen terhadapnya dan memilih untuk jadi diri sendiri.
- Dia menegaskan tiada masalah selagi kehidupannya dan keluarganya tidak diganggu oleh orang lain.
- Oddah juga menekankan pentingnya berbuat baik kepada semua orang tanpa mengira siapa mereka.
Anak kepada pelakon dan pengacara terkenal, Sharifah Shahirah iaitu Auddra Zulkifli, mengakui dia tidak terlalu mengambil peduli dengan pandangan negatif segelintir netizen terhadapnya.
Menurut Auddra atau lebih dikenali sebagai Oddah, setiap individu mempunyai hak untuk memberikan pendapat masing-masing.
Bagaimanapun kata Oddah, dia memilih untuk tidak terlalu memikirkan tentang kata-kata orang.
“Untuk mereka yang tak suka saya atau kata saya gedik ke, ‘pick me’ ke, tak apa. Pada saya itu hanyalah pendapat.
“Saya sebenarnya tak berapa nak ambil peduli tentang apa yang orang kata pada saya sebab saya adalah saya dan kamu adalah diri kamu,” katanya kepada Gempak.
Kata Oddah lagi, dia tidak mempunyai masalah selagi kehidupannya bersama keluarga tidak diganggu.
“Jika anda nak panggil saya gedik, panggil saya budak atau tak suka saya, tak apa, itu pendapat awak. Saya tetap akan menjadi diri saya sendiri.
“Selagi awak tak kacau hidup saya, selagi saya tidak kacau hidup orang, saya okay.
“Selagi anda tak buat hal dengan ibu bapa saya semua itu saya okay. Jangan buat hal dengan ibu bapa saya,” tegasnya.
Dalam pada itu, Oddah turut menekankan kepentingan untuk sentiasa berbuat baik tanpa mengira golongan.
“Saya rasa ia seperti ‘common sense’ untuk kita baik dengan orang lain, tidak kira sama ada kawan atau orang luar.
“Kalau awak baik, orang lain akan baik dengan awak juga, jadi semua orang kena jadi baik,” ujarnya.