Sekilas
- Avril Lavigne telah selamat melahirkan bayi perempuan sulungnya pada usia 42 tahun dan berkongsi berita gembira itu di Instagram dengan beberapa foto hitam putih.
- Dalam perkongsian tersebut, Lavigne memaparkan momen manis bersama bayi dan kasut Vans berpasangan yang melambangkan keluarga mereka, namun identiti bapa bayi masih belum didedahkan.
- Penyanyi itu kini sedang menikmati masa bersama keluarga sambil menyiapkan album baru dan menghargai sokongan peminatnya.
Penyanyi terkenal, Avril Lavigne selamat menyambut kelahiran cahaya mata pertamanya, seorang bayi perempuan pada usia 42 tahun.
Berita gembira dirinya kini bergelar seorang ibu dikongsi penyanyi lagu Complicated berkenaan menerusi Instagram miliknya.
Bersama pengumuman tersebut, Lavigne turut memuat naik beberapa foto hitam putih merayakan kehadiran anggota baharu dalam keluarga mereka.
“Puteri kecil kami yang sangat istimewa akhirnya tiba,” tulisnya menerusi kapsyen yang turut disertakan dengan emoji mahkota, reben dan botol susu.
Menerusi perkongsian tersebut, Lavigne dan pasangannya dilihat memegang tangan bayi berkenaan, manakala satu lagi foto memaparkan penyanyi itu mendakap erat si kecil di dadanya.
Turut mencuri perhatian ialah foto tiga pasang kasut Vans bercorak petak yang diletakkan di atas papan selaju, dengan dua pasang bersaiz dewasa dan sepasang lagi bersaiz bayi.
Bagaimanapun, Lavigne masih belum mendedahkan identiti bapa kepada cahaya mata sulungnya itu.
“Avril sedang menikmati masa bersama keluarganya sambil menyiapkan album baharu dan ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat atas segala kasih sayang yang diberikan,” ujar wakil penyanyi tersebut seperti dilaporkan People.
Pada Mei 2024, Lavigne pernah tampil dalam podcast Call Her Daddy bersama pengacara Alex Cooper dan menjawab beberapa persoalan mengenai kehidupan percintaannya.
Dalam temu bual itu, penyanyi yang pernah menerima lapan pencalonan Anugerah Grammy berkenaan secara berseloroh menyifatkan dirinya sebagai seorang pasangan yang hebat.
“Saya sebenarnya tidak pernah melalui fasa bercinta secara santai. Saya sentiasa berada dalam hubungan yang agak serius,” katanya.
Lavigne turut menyifatkan dirinya seorang yang gemar memasak serta mempunyai minat mendalam terhadap dekorasi dan pengurusan rumah.
“Saya sendiri sanggup memilih diri saya sebagai pasangan. Saya pandai memasak, sangat meminati dunia dekorasi dan menghias rumah serta memang seronok melakukan semua itu,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada sedang menjalin hubungan dengan seseorang ketika itu, Lavigne hanya mengangkat bahu dan memilih untuk tidak memberikan sebarang jawapan.
Bagaimanapun, dia sempat berkongsi kriteria penting dalam memilih pasangan, antaranya keserasian dan kepercayaan.
“Perkara paling penting ialah mencari seseorang yang mempunyai keserasian dengan kita.
“Semestinya, semua itu kedengaran seperti klise, tetapi seseorang yang boleh dipercayai sangat penting. Tanpa kepercayaan, kita tidak akan berasa tenang dalam hubungan dan akhirnya sentiasa dibelenggu ketidakpastian,” katanya.