Sekilas
- Bella Dally tidak ada tradisi Aidilfitri yang khusus tetapi sentiasa nantikan ayam masak lengkuas yang dimasak dengan banyak lengkuas untuk rasa lebih beraroma.
- Resipi ayam masak lengkuas itu berasal daripada pembantu rumah yang menjaga Bella sejak kecil dan menjadi hidangan istimewa keluarganya setiap tahun.
- Sejak berkahwin, Bella belajar memasak hidangan kegemaran suaminya seperti lontong dan rendang untuk disajikan pada pagi raya, sambil meraikan Aidilfitri bersama keluarga di Sabah dan Kuala Lumpur.
Pelakon, Bella Dally tidak ada tradisi yang terlalu khusus untuk sambutan Aidilfitri tetapi mempunyai satu menu istimewa yang sering dinantikannya setiap tahun iaitu ayam masak lengkuas.
Menurut Bella, hidangan tersebut dimasak dengan penggunaan lengkuas yang banyak sehingga menghasilkan rasa yang lebih beraroma dan “flavourful”.
“Tradisi keluarga tiada sebab kami sejenis yang simple sahaja tetapi kalau masakan istimewa itu ada iaitu ayam masak lengkuas.
“Ayam itu dimasak dengan lengkuas yang banyak dan sangat flavourfull. Tapi itu hanyalah dalam keluarga saya sahaja,” katanya kepada Gempak.
Jelas Bella lagi, resipi hidangan tersebut sebenarnya berasal daripada pembantu rumah yang telah lama menjaganya sejak kecil.
“Sebenarnya saya ada helper yang jaga saya sejak lama dahulu, 20 tahun dia jaga saya jadi sebenarnya itu adalah resipi dia.
“Jadi setiap tahun mak saya akan buat hidangan itu dan masakan iri juga merupakan antara yang menjadi kegemaran saya.
“Makan dengan nasi putih, ketupat atau lemang pun boleh,” kongsinya.
Dalam pada itu, Bella berkata sejak mendirikan rumah tangga, dia juga belajar memasak beberapa hidangan kegemaran suaminya untuk disajikan pada pagi raya.
“Tahun lepas kami beraya di Kuala Lumpur jadi tahun ini belah saya pula iaitu di Sabah, Kota Kinabalu.
“Keluarga saya di sana kecil sahaja dan sebenarnya sambutan di sini lebih meriah kerana keluarga suami saya besar.
“Jadi kalau balik Sabah, memang waktu tengahari tu sudah habis beraya. Tapi seronok dapat balik Sabah sebab keluarga saya masih di sana.
“Untuk masakan pula, saya belajar apa yang suami saya suka makan sahaja seperti lontong, rendang dan saya akan masak untuk raya,” ujarnya.