Sekilas
- Azadan Abdul Aziz dari kumpulan Rabbani mengingatkan golongan muda supaya tidak mengabaikan solat kerana ia adalah tiang agama dan asas penting dalam kehidupan seorang Muslim.
- Azadan menggunakan analogi telefon bimbit yang memerlukan tambah nilai untuk menerangkan bahawa solat menghubungkan kita dengan Allah dan penting untuk doa diterima.
- Beliau menegaskan perubahan ke arah kebaikan perlu bermula dari diri sendiri dan berharap isu tular seorang lelaki Islam yang didakwa mengamalkan ritual agama lain menjadi pengajaran kepada semua.
Anggota kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz mengingatkan golongan muda supaya tidak mengabaikan solat kerana ia merupakan tiang agama dan asas penting dalam kehidupan seorang Muslim.
Menurut Azadan, setiap individu perlu mempunyai kesedaran sendiri untuk menjaga solat serta berpegang teguh pada agama dan tidak hanya bergantung kepada didikan ibu bapa.
Bagi menjelaskan kepentingan solat, Azadan menggunakan analogi telefon bimbit yang memerlukan tambah nilai untuk membolehkan seseorang terus berhubung.
“Saya tak pandai cakap pasal agama, tapi ustaz-ustaz selalu cakap nak hidup macam mana pun hiduplah, tetapi solat jangan tinggal.
“Solat sangat penting kerana ia adalah tiang agama. Nak jadi apa jadilah. Saya, kalau dengan keluarga mahupun mana anak-anak muda yang rapat, saya tak nak paksa mereka tetapi saya lebih suka gunakan psikologi.
“Contoh, kita pakailah telefon mahal mana, secanggih mana tetapi kalau tak ada topup, awak tak boleh berhubung dengan orang. Topup itu seperti solat kerana solag menghubungkan kita dengan Allah.
“Kalau kota berdoa, insya-Allah cepat atau lambat Allah akan bagi. Tapi kalau kita tak solat, kita berdoa menangis, meraung, pergi ke Kaabah ke apa dan sebagainya, pergi tempat mustajab, kalau tak solat, doa kita tak diterima,” katanya kepada Gempak ketika majlis pelancaran Rabbai Event Hall bertempat di Scott Garden, Kuala Lumpur pada Selasa.
Azadan berkata demikian ketika diminta mengulas isu tular membabitkan seorang lelaki beragama Islam yang didakwa mengamalkan ritual agama lain baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Azadan berpendapat perubahan ke arah kebaikan perlu bermula daripada diri sendiri di mana setiap individu itu perlu bijak menilai baik buruk sesuatu perkara sebelum membuat keputusan.
“Tapi, bila seseorang tu nak berjaya, perubahan seseorang tu untuk jadi lebih baik, bukan sebab orang lain, sebab diri sendiri.
“Panggillah pakar motivasi yang hebat macam mana sekalipun, ustaz-ustaz yang hebat macam mana sekalipun, tapi yang akan merubah diri kita ataupun yang membawa arah diri kita adalah diri kita sendiri,” ujarnya.
Dalam masa sama, Azadan berharap isu tular itu dapat menjadi pengajaran kepada individu terbabit serta mendorongnya untuk lebih berhati-hati dalam menentukan pilihan hidup.
Ujar Azadan, didikan agama yang diberikan ibu bapa sejak kecil merupakan satu perkara yang penting, namun setiap individu itu tetap perlu berusaha memelihara iman sert pegangan agama masing-masing.
“Saya harapkan apa yang berlaku tu menjadi satu pengajaran pada dia. Bila dia lihat orang sekeliling dia berbunyi, sebenarnya orang sayang dia. Allah juga sayang dia.
“Jadi, mudah-mudahan dengan isu yang berlaku ni menjadikan dia lebih berhati-hati dan teliti.
“Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertakwa, so jangan salahkan mak ayah kita bila kita berlaku yang macam ni,” ujarnya.
Terdahulu, tular beberapa perkongsian yang mendakwa seorang lelaki beragama Islam melakukan ritual agama lain.
Perkongsian itu kemudiannya menyorot perhatian ramai sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.