Sekilas
- Pelakon Azar Azmi tidak dapat berhubung dengan suaminya, Mohd Apri Hazreen, yang kini dalam tahanan dan sedang menghadapi perbicaraan mahkamah sebagai saksi pendakwaan.
- Azar menegaskan dia perlu mematuhi perintah mahkamah dan tidak boleh mengulas lanjut kerana kes masih berjalan.
- Walaupun menghadapi cabaran, Azar terus fokus bekerja demi anak-anak dan bersyukur kerana mendapat peluang berlakon serta menjadi duta produk Elegant Cosmetics.
“Dia tak boleh dekat dengan saya dan saya tak boleh dekat dengan dia,” demikian ujar pelakon Azar Azmi sewaktu ditanya mengenai kehidupannya selepas suami, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri yang sedang berdepan perbicaraan di mahkamah membabitkan dua pertuduhan, ditahan di penjara.
Azar atau nama sebenarnya, Siti Azar Ameerah Azmi, 37, kemudian menambah: “Sebab saya adalah saksi pendakwaan. Jadi mengikut perintah mahkamah, dia perlu ikutlah apa yang mahkamah dah perintahkan.
Pelakon drama Bulan Henti Bicara itu juga memberitahu tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan kerana proses perundangan masih berlangsung.
Jelasnya, keadaan tersebut juga menyebabkan mereka tidak boleh berhubung secara langsung kerana dirinya merupakan antara saksi pendakwaan dalam kes berkenaan.
“Yang ini saya tidak boleh nak sentuh langsung, sebab bendanya masih berjalan, kes masih berjalan. Itu saja yang saya boleh cakap. Sebab dia di ‘dalam’ dan saya tak boleh nak buat apa-apa. Kes masih berjalan, jadi tak boleh nak buat apa-apa,” katanya.
Azar juga menegaskan keadaan berkenaan bukan sesuatu yang boleh diputuskan mengikut kehendaknya sendiri sebaliknya perlu mematuhi perintah yang telah ditetapkan mahkamah.
Namun di sebalik ‘masalah’ yang dialami, ia langsung tidak mematahkan semangat buat Azar memberi fokus dan kembali aktif dalam bidang seni.
Dan tegasnya, apa sahaja yang berlaku dalam kehidupannya ketika ini, kekuatan tetap bersandar kepada Allah selain sokongan insan terdekat serta tanggungjawabnya terhadap anak-anak.
Menurutnya lagi, dia tidak mahu membiarkan diri terus terperangkap dalam kesedihan kerana menyedari masih mempunyai tanggungjawab besar terhadap anak-anak.
“Saya tak boleh ada perasaan itu (sedih) sebab saya ada tanggungan yang saya nak pikul.
“Kalau saya tak keluar dan saya ada perasaan itu, macam mana dengan anak-anak? Susunya, lampinnya, nak sekolahkan mereka lagi, makan lagi.
“Memang sejak awal saya terus letak dalam diri saya, ‘I need to do something’ (saya kena buat sesuatu). ‘Aku kena kerja. Kalau aku tak kerja, tak ada rezeki, siapa nak tanggung anak-anak?’ Itu saja,” katanya yang bersyukur kerana peluang berlakon sentiasa hadir selain dipilih sebagai duta produk Elegant Cosmetics.
Terdahulu, Apri didakwa atas pertuduhan menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya membuat pembayaran RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang wanita berusia 35 tahun.
Dia turut didakwa atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk membuat pembayaran RM23,120 bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran yang kononnya membawa gelaran Datuk, namun sebenarnya tidak wujud.