Sekilas
- Azza dari kumpulan Elite menegaskan setiap pasangan suami isteri perlu diberi ruang untuk 'me time' tanpa dihakimi orang lain.
- Beliau mengingatkan supaya tidak cepat membuat andaian negatif hanya kerana melihat isteri keluar berhibur, sedangkan pengorbanan mereka dalam mengurus keluarga tidak diketahui.
- Azza juga menyeru orang ramai agar tidak mudah menjatuhkan hukum terhadap kehidupan rumah tangga orang lain berdasarkan perkongsian di media sosial.
Penyanyi yang juga anggota kumpulan Elite, iaitu Azza berpendapat setiap pasangan yang bergelar suami isteri wajar diberikan ruang untuk menikmati masa sendiri atau ‘me time’ tanpa perlu dihakimi oleh orang lain.
Menerusi satu hantaran di Threads, Azza berkata adalah tidak adil untuk terus membuat andaian negatif hanya kerana melihat seorang isteri keluar berhibur atau menghadiri konsert, sedangkan mereka tidak mengetahui pengorbanan yang dilakukan dalam menguruskan keluarga.
“Isteri atau suami kena ada ‘me time’ memasing sis. Setakat pergi konsert lepas tu kau cakap laki dia ‘deserve better’, apa benda.
“Kau nampak masa ‘me time’ dia dan laki jaga anak. Yang kau tak nampak masa wanita ni jaga anak dia, jaga rumah tangga dia,” tegasnya.

Dalam perkongsian yang sama, Azza juga turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah menjatuhkan hukum terhadap kehidupan rumah tangga individu lain hanya berdasarkan perkongsian di media sosial.
“Okay, boleh tak kita gembira dengan kegembiraan orang. Nampak sikit je orang lain pergi mana ke apa terus nampak salah orang!
“Tak baik tau, hati bagi clean sikit, asyik cari salah orang je,” coretnya.
Hantaran Azza itu ternyata mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya bersetuju bahawa suami dan isteri memerlukan masa untuk diri sendiri sebagai salah satu cara untuk menjaga kesejahteraan emosi.
Untuk info, Azza memberikan respon berkenaan susulan seorang individu memberikan komen kurang enak terhadap hantaran seorang wanita yang berkongsi kegembiraan menghadiri konsert K-Pop iaitu EXO.
Malah wanita itu juga turut berkongsi foto merakamkan suaminya sedang menjaga sambil menyuapkan makanan untuk anaknya sementara dia menghadiri konsert tersebut buat seketika.