Skip to main content

Konsert

Baby Shima & Amelina ‘Teman’ Inul Daratista Goyang Gerudi Di Penang

inul_babyshima

Hampir dua dekad tidak mengadakan konsert berskala besar di Malaysia, ikon dangdut wanita Indonesia, Inul Darastita akan bertemu dengan peminat menerusi Konsert Inul Daratista Live In Malaysia: Millennial Dangdut Nusantara bakal berlangsung di Pulau Pinang pada 6 Disember ini.

Tentu sahaja hal yang dipertanyakan tentang persembahan Inul adalah adakah dia akan melakukan aksi yang membuat namanya popular - goyang gerudi.

Advertisement

Tanpa berfikir panjang, wanita berusia 46 tahun yang telah lama bergelumang dengan dunia hiburan ini menjawab.

“Ya, pasti akan goyang gerudi,” katanya sewaktu ditemui pada sidang media konsert yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.

Namun kata Inul, dia sangat menghormati garis panduan yang ditetapkan di Malaysia dan tidak akan ‘berlebihan’ dalam setiap persembahannya.

“Ada batas (joget) yang perlu saya patuhi dan itu bukan hanya di Malaysia tetapi juga di Indonesia. Jadi saya akan jaga peraturan,” katanya lagi.

Lebih mengujakan, Inul akan ditemani oleh dua nama besar yang mengharumkan irama dangdut di Malaysia iaitu Baby Shima dan Amelina. Kedua-duanya juga sudah mempunyai rencana dan siap untuk ‘bergoyang’ sama dengan Inul.

Tidak cukup Baby Shima dan Amelina, penganjur Fajar Baiduri Empire juga membawakan Mohram bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bawah pimpinan Mohd Yazid Zakaria, bersama 18 pemuzik dan 12 penari ArtisTana, Istana Budaya sebagai tarikan konsert.

Bercakap mengenai pemilihan Inul dan lokasi konsert di Pulau Pinang, 
Ketua Pegawai Eksekutif Fajar Baiduri Empire Datuk Hairi Iskandar Datuk Hj Sabiamad mengatakan ia sebagai pilihan yang tepat.

“Inul Daratista bukan hanya seorang penyanyi dangdut atau usahawan. Dia adalah ikon dan fenomena. Jadi kami mahu membawakan fenomena Inul ke Pulau Pinang kerana tahu ada banyak peminat terutama pekerja warga asing di sana,” katanya.

Tiket Konsert Inul Daratista Live In Malaysia: Millennial Dangdut Nusantara mula dijual secara dalam talian bermula pada 9 September pada harga RM78 hingga RM488 mengikut kategori.

Must-Watch Video

Advertisement