Sekilas
- Zarif Ghazzi turun berat badan sebanyak 21 kilogram dalam tiga bulan untuk watak Abbas dalam filem Kudrat 1968.
- Dia juga menggelapkan warna kulitnya demi memastikan watak pelajar sekolah itu kelihatan realistik.
- Kudrat 1968 adalah prekuel kepada siri Projek: High Council dan menampilkan barisan pelakon seperti Mierul Aiman dan Akmal Asyraf.
Pelakon Zarif Ghazzi sanggup melakukan transformasi fizikal yang drastik demi menjayakan wataknya sebagai Abbas dalam filem Kudrat 1968.
Menurut Zarif, sebagai persediaan, dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 21 kilogram dalam tempoh tiga bulan demi membawa watak pelajar sekolah dalam filem tersebut.
“Berat badan saya turun daripada 90 kg ke 69 kg dalam masa tiga bulan. Saya makan sehari sekali dan berjoging 15 kilometer setiap hari untuk mendapatkan fizikal ini.
“Saya juga bukan seorang yang pemarah atau yang suka berlawan. Jadi sepanjang empat hingga lima bulan persediaan itu, itulah cabaran sebenar saya sebelum masuk ke set penggambaran,” katanya kepada Gempak.
Zarif berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis memperkenalkan barisan pelakon utama Kudrat 1968 di Robert’s Theatre, The Campus Ampang, pada Rabu.
Bukan itu sahaja, Zarif memaklumkan dia turut sanggup menggelapkan warna kulitnya bagi membawa watak sebagai Abbas demi memastikan keberkesanannya membawa watak tersebur.
“Saya buat kulit gelap. Saya gelapkan kulit semata-mata untuk menjayakan watak ini. Saya ambil masa empat bulan untuk siapkan diri,” katanya.
“Bagi saya, itu adalah tanggungjawab yang diberikan saya daripada hari pertama pihak produksi katakan saya dapat watak Abbas. Itu adalah tanggungjawab sebab saya percaya setiap rezeki yang datang pada saya datangnya dengan tanggungjawab yang perlu saya bawa dengan baik.
“Sebab saya tahu, watak Abbas ini ramai yang nak. Saya boleh katakan satu juta pelakon yang buat video nak watak Abbas ini. Tapi saya yang dapat,” katanya.
Mengulas lanjut, pelakon drama Seribu Tahun ini memaklumkan bahawa sangat penting untuknya melakukan perubahan fizikal kerana dia mahu penampilannya betul-betul menyerupai budak sekolah.
“Sebelum ini saya banyak membawa watak lelaki berusia 20-an hingga lewat 20-an yang memerlukan badan besar.
“Jadi, saya perlu dapatkan ‘look’ budak sekolah untuk naskhah ini sebab saya sukakan suatu yang realistik. Bukan sekadar daripada mental tapi daripada fizikal juga. Jadi bila orang nampak, cakap ‘Apa ini? Badan besar tapi jadi budak sekolah?’ Itu saya paling tak suka,” katanya lagi.
Kudrat 1968 merupakan prekuel kepada dunia High Council yang membawa penonton menelusuri permulaan sistem hierarki rahsia dalam kalangan pelajar, sekali gus menjadi titik awal kepada kisah yang diperkenalkan menerusi siri Projek: High Council dan filem Kahar: Kapla High Council.
Selain Mierul Aiman, filem itu turut dibintangi Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes, Chech Harith dan Zarif Ghazzi.