Pengarah, Michael Ang mengakui tidak mempunyai sebarang masalah dengan aktres, Puteri Balqis.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Michael menegaskan bahawa Balqis langsung tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak perlu memohon maaf kepadanya.
“Salam, Balqis tak ada apa salah atau perlu minta maaf kepada saya. Sebab tak ada apa-apa pun, salah faham sahaja. Kalau nak cakap pasal ayah awak punya isu pinjam dari saya pun, dah lama saya lupakan dan halalkan je. Jadi semua berbaik ye,” katanya.
Hantaran itu turut mendapat perhatian Balqis atau lebih mesra disapa sebagai Aqish.
Pelakon muda itu mengakui dirinya dan ibunya tidak pernah mengetahui mengenai dakwaan pinjaman tersebut.
“Uncle, saya dan ibu saya tak pernah tahu biological father pinjam dekat uncle. Boleh uncle DM berapa amount, dan kami akan bayar balik,” kata Balqis.
Bagaimanapun, Michael memilih untuk melupakan segala hutang tersebut dan menghalalkannya.
“It is okay babe. I halal kan already after I knew what you all went through, what he did to you all. Just forget it,” balasnya.
Terdahulu, Puteri Balqis akui tidak mempunyai sebarang masalah dengan pengarah, Michael Ang selepas namanya diseru.
Menerusi hantaran di Instagram, Puteri Balqis atau lebih mesra disapa sebagai Aqish memohon maaf sekiranya nama pengarah itu terkena tempias gara-gara isu yang sedang hangat diperkatakan di sosial media.
Isu ini mula tercetus selepas Puteri Balqis meluahkan rasa geram dengan tindakan Mia Sara yang didakwa pernah memburukkan dirinya serta ibunya di hadapan orang ramai.
Malah Aqish mendakwa tindakan Mia yang menangis di hadapan media sebelum ini disifatkan sebagai cubaan meraih simpati selain menutup sisi buruk dirinya.
Bagaimanapun, isu semakin hangat selepas pelakon, Janna Nick turut berbalas kenyataan dengan Puteri Balqis selain turut mengaitkan nama Michael Ang yang didakwa mengetahui apa yang terjadi.