Sekilas
- Penyanyi Jamak Hussain menarik perhatian netizen selepas video dia dan bapanya, Jamilulhayat, berjalan secara mengundur di pentas Kilauan Emas Selebriti tular di Threads.
- Adik Jamak, Akier Jamil, menjelaskan bahawa tindakan itu adalah arahan bapanya untuk menjaga adab tidak membelakangi penonton semasa berada di atas pentas.
- Netizen memuji nilai adab dan prinsip yang diterapkan oleh Jamilulhayat kepada anak-anaknya dalam menjaga etika sebagai penghibur.
Penyanyi, Jamak Hussain menyorot perhatian netizen selepas muncul dalam program Kilauan Emas Selebriti baru-baru ini.
Menerusi satu perkongsian video di Threads, peminat nyata terhibur melihat Hussain bersama bapanya, Jamilulhayat, berjalan secara mengundur sebelum meninggalkan pentas utama.
“Hussainnnnn!!!! Dibawa abahnya jalan reverse yee 🤭,” tulis seorang netizen.
Bagaimanapun, adik kepada Hussain, Akier Jamilul tampil menjelaskan tindakan tersebut sebenarnya adalah pesanan bapanya yang menitikberatkan adab ketika berada di atas pentas.
Menurut Akier, Jamilulhayat sejak dahulu mengajar anak-anaknya supaya tidak membelakangi penonton selagi mereka masih berada di atas pentas.
“Abah ajar kami, selagi di atas pentas jangan membelakangi atau membontot ke arah penonton sebab selagi di pentas itu adalah persembahan,” jelasnya.
Penjelasan tersebut sekali gus membuatkan netizen semakin kagum dengan prinsip yang diterapkan Jamilulhayat kepada anak-anaknya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memuji nilai adab dan pekerti yang ditunjukkan keluarga berkenaan.
“Tinggi adab, tak semua orang ada adab macam tu. Terima kasih abah online kami.
“Prinsip abah... Wow, adab pekerti sebagai penghibur.
“Bagusnya adab.
“Masya-Allah, adab," kata netizen.