Ringkasan AI
- Syarifah Haneesya kongsi cabaran membawa watak makhluk ghaib Pamakbul dalam filem seram Malam Terlarang.
- Watak Pamakbul disembah oleh watak lakonan Datin Sofia Jane, menyebabkan Syafiah rasa tekanan besar sebagai pelakon baru.
- Syarifah perlu tampil garang dan berkuasa untuk menyaingi aura kuat Sofia Jane dalam babak mereka bersama.
- Pasukan kostum dan solekan bantu menyerlahkan sisi menyeramkan watak Pamakbul.
- Filem Malam Terlarang kini ditayangkan dan berjaya kutip lebih RM5 juta, kekal nombor satu di GSC.
Pelakon dan model, Syafiah Haneesya berkongsi cabaran ketika membawakan watak makhluk ghaib bernama Pamakbul dalam filem seram pecah panggung Malam Terlarang, terbitan Astro Shaw.
Menurut Haneesya, watak tersebut menuntut dirinya untuk tampil garang dan berkuasa, malah menjadi makhluk yang disembah oleh watak lakonan aktres legenda, Datin Sofia Jane.
“Apabila saya dapat tahu karakter saya adalah makhluk yang disembah manusia, dan manusia itu pula ialah Sofia Jane, saya terus rasa tekanan itu luar biasa,” katanya.
Jelasnya lagi, sebagai pelakon baharu, dia berasa gugup apabila perlu menjayakan adegan Sofia Jane melutut di hadapannya.
“Bayangkan saya pelakon baru, tapi dalam babak itu, Sofia Jane kena tunduk sembah saya.
“Macam mana saya nak buat ia nampak realistik, sedangkan dia memang seorang legenda.
“Aura dia sangat kuat, jadi saya kena cari cara untuk nampak lebih ‘berkuasa’ daripada dia,” ujarnya.
Tambah Haneesya, antara perkara paling banyak membantunya menjayakan karakter itu ialah pasukan kostum dan solekan yang berjaya menyerlahkan sisi menyeramkan watak berkenaan.
“Saya nak ucap terima kasih kepada pasukan pakaian dan kru sebab tanpa mereka, saya tak rasa watak Pamakbul boleh nampak menakutkan.
Saya juga risau kalau aura saya ‘dimakan’ oleh Sofia Jane dalam babak bersama dia, sebab dia sangat hebat,” katanya.
Bagaimanapun, Haneesya bersyukur apabila hasil lakonannya mendapat pujian selepas tayangan filem itu.
“Bila tengok hasilnya di layar, saya rasa lega dan bangga juga sebab nampak menjadi. Tapi serius, saya memang sangat takut masa berlakon babak tu,” katanya lagi.
Filem Malam Terlarang, arahan Nurhanisham Muhammad (Labu) menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Sofia Jane, Shasha Abedul, Normah Damanhuri dan Sabri Yunus. Filem ini kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara dan berjaya mencatat kutipan melebihi RM5 juta, kekal di carta nombor satu GSC.