Sekilas
- Bekas Ratu Cantik Thailand, Boom Panadda, mengumumkan perceraian selepas mendakwa suaminya, God Atip, curang dan mengambil wang simpanan mereka.
- Panadda mendedahkan suaminya menjalinkan hubungan dengan anak perempuan pembantu rumah dan seorang rakan karibnya yang juga mengugut menyebarkan rakaman pertengkaran mereka.
- God Atip didakwa berhutang dan sering menghubungi Panadda untuk minta wang, menyebabkan dia berasa tertekan dan membawa anak-anak bermalam di hotel demi keselamatan.
Bekas Ratu Cantik Thailand, Boom Panadda mengejutkan peminat apabila mengumumkan perceraian bersama suami, God Atip.
Pengumuman tersebut dilakukan dalam sebuah sidang media yang berlangsung pada 29 Oktober lalu.
Panadda yang juga merupakan seorang pelakon terkenal itu mendakwa suaminya telah curang selain mengambil wang simpanan mereka yang disimpan dalam peti besi.
Menurut laporan akhbar Thailand, Naewna, Panadda mendakwa rumah tangga mereka mula bermasalah sejak 2024.
Kata wanita berusia 50 tahun itu, tidak lama sebelum melahirkan anak lelaki mereka, Alex, dia mendapat tahu suaminya membawa anak perempuan pembantu rumah mereka keluar minum bir.
Lebih mengejutkan, Atip didakwa kemudian menjalinkan hubungan dengan wanita berkenaan serta memberikan bantuan kewangan kepadanya.
Wanita itu dipercayai baru berusia sekitar 17 atau 18 tahun ketika kejadian berlaku.
Susulan insiden tersebut, mereka mula tinggal berasingan. Bagaimanapun demi anak-anak, dia memilih untuk mengekalkan imej keluarga bahagia di hadapan media dan masyarakat sepanjang dua tahun lalu.
Namun, dakwaan kecurangan itu tidak terhenti di situ apabila Panadda kemudian mendakwa suaminya sekali lagi menjalinkan hubungan dengan wanita lain.
Lebih menyedihkan, wanita berkenaan merupakan individu yang paling dipercayainya iaitu seorang rakan karib yang sudah lama bekerja bersama ratu cantik itu.
Menurutnya, wanita terbabit secara rahsia merakam pertengkaran antara dirinya dengan suami sebelum mengugut untuk menyebarkan rakaman tersebut di internet.
Dia turut mendakwa wanita itu berniat memutarbelitkan keadaan dengan menuduhnya menjalin hubungan sulit.
Dalam sidang media sama, Panadda yang cukup terguris dan sedih turut meluahkan kemarahan apabila mendakwa lelaki itu mengambil wang simpanan daripada peti besi mereka.
Menurut pemenang pertandingan Miss Thailand 2000 itu lagi, wang berkenaan merupakan hadiah tunai daripada sebuah jenama sabun terkenal sempena kelahiran dua anak lelaki mereka, Alex dan Arthur.
Bagaimanapun, apabila dia meminta penjelasan daripada suaminya, lelaki itu hanya memberikan jawapan ringkas.
“Duit itu sudah habis,” katanya memetik jawapan suaminya.
Malah dia mendedahkan suaminya sejak beberapa bulan kebelakangan ini sering menerima panggilan daripada pemiutang yang menuntut pembayaran semula hutang.
Pada 12 Oktober lalu, Atip didakwa menghubunginya dan meminta wang sebanyak RM1.4 juta namun permintaan itu ditolak.
Lelaki berkenaan bagaimanapun terus menghubunginya bagi meminta wang sehingga membuatkan dia berasa sangat tertekan.
Dia mengakui berasa seolah-olah dirinya hanya dianggap sebagai mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang perlu menanggung segala beban kewangan seorang diri.
Lebih membimbangkan, Atip didakwa masuk ke kediaman mereka baru-baru ini secara senyap-senyap dan cuba membuka peti besi berkenaan.
Bagaimanapun, Panadda sudah terlebih dahulu menukar kod keselamatan peti besi tersebut.
Selepas melihat suaminya menyelongkar dokumen di dalam rumah, Boom mengambil keputusan membawa anak-anak mereka bermalam di sebuah hotel.