Skip to main content

Berita Tempatan

Belasungkawa: Terima Kasih Bakatnya, Kami Bisik Pada Langit Allahyarham Jalil Hamid Sejahtera di Sana

Astro Gempak jalil hamid

Sekilas

  • Jalil Hamid, pelakon berkaliber yang meninggalkan legasi seni selama empat dekad, meninggal dunia pada usia 69 tahun pada 4 Mei 2026.
  • Beliau dikenali melalui karya filem dan drama popular seperti Driving School, Zombie Kampung Pisang, dan Ayahanda, serta lagu satira Ayam yang terkenal.
  • Walaupun tidak terlalu popular dalam kalangan generasi muda, pemergiannya meninggalkan kesan mendalam dalam industri seni tempatan dan diwarisi oleh anaknya, Afiqah Jalil.

Dalam kalangan peminat seni tempatan generasi baharu, sepotong nama pelakon Jalil Hamid barangkali langsung tidak memberi makna atau lebih parah tidak pernah dikenali.

Maka pada saat khabar duka kepulangan Abdul Jalil Abdul Hamid pada usia 69 tahun ke Rahmatullah, tengahari 4 Mei 2026 ia hanya menjadi satu laporan berita yang bertebaran di media sosial dan dibaca secara tidak sengaja kerana muncul di timeline.

Hakikatnya dalam dunia seni tempatan, Jalil Hamid adalah seorang seniman yang perjalanan karier seninya meninggalkan kesan abadi tersendiri.

Sosok allahyarham memang tidak terlalu popular, tidak juga langsung tenggelam sepanjang kariernya. Namun bagi pemain seni yang mengenalinya sebagai seorang aktor berkaliber, penuh ilmu di dada dan cukup disenangi, pemergian Jalil Hamid cukup mengesankan. Buat industri perfileman dan televisyen, Malaysia telah kehilangan sebutir permata yang pernah membuat persada seni kita berkilau dengan bakatnya.

Di dunia lakonan, aktor tersebut memiliki bilangan karya hebat yang meletakkan nama Jalil Hamid dalam kelompok pelakon ‘method’. Beri watak komedi; menggeletek hati. Beri watak antagonis ; membuat hati benci. Dipercayai sebagai protagonis ; semuanya cemerlang di tangan seorang seniman berjiwa besar bernama Jalil Hamid.

Selama empat dekad ‘berumah tangga’ dalam dunia seni, allahyarham terkenal dengan naskhah-nakshah yang berprolifik. Lihat sahaja bagaimana filem seperti Driving School, Baginda, Zombie Kampung Pisang, Lelaki Harapan Dunia, Bisik Pada Langit, 6 Jilake atau drama Ayahanda, Lebai Sampan, Malek dan Rombengan - semuanya memiliki mesej besar di sebalik hiburan dan menjadikan nama Jalil Hamid sebagai aktor ‘papan atas’ lewat kualiti yang dimiliki.

Manakala dalam bidang nyanyian, Jalil Hamid cukup sinonim dengan sebuah karya yang terkenal penuh satira berjudul Ayam. Ayam merupakan karya yang dihasilkan komposer Azmeer dimuatkan dalam album perdananya pada 1993.

Lagu terakhir dendangannya lebih meninggalkan makna yang cukup tersendiri. Bersama anaknya, Afiqah Jalil, allahyarham ‘menghidupkan’ semula lagu raya miliknya, Dendang Hari Raya yang dipersembahkan pada Aidilfitri lalu.

Bakat Jalil Hamid diakui bukan hanya dalam kalangan penggiat seni tetapi sempat diiktiraf industri. Allahyarham adalah lambang peribahasa ‘diam ubi berisi’. Dipanggil berlakon ‘aku beri’, tidak diundang ‘diam sendiri’.

Dan beberapa tahun kebelakangan,  meski di hujung hayatnya allahyarham pernah memiliki riwayat masalah jantung, Jalil tidak pernah meminta-minta. Allahyarham hidup dengan caranya yang sederhana — seperti lakonan-lakonannya yang sederhana tetapi bermaruah.

Pemergiannya juga seperti ‘air sungai mengalir, tenang’. Laporan terdahulu, allahyarham ditemui tidak sedarkan diri, tertidur selepas menunaikan solat Subuh. Berpulangnya seniman hebat itu ‘tanpa riuh sekampung’ sama seperti kelana seninya yang sejahtera.

Pemergiannya juga telah meninggalkan tanda baik dan kenangan manis kepada industri seni tempatan dan peminat. Dan lebih penting, legasi serta bakat seninya sudah ditumpahkan kepada salah seorang anaknya ; yang jika diberi peluang dan ruang akan menghidup lalu menyuburkan semangat seni Allahyarham Jalil Hamid dalam industri kita.

Selamat berpulang manusia baik. Semoga roh dicucuri rahmat dan salam takziah buat seluruh keluarga selepas menghantar Jalil Hamid bersemadi di negeri abadi.

Anda mungkin berminat dengan

POP MART Angry Molly - Angry Energy Series Plush Pendant Blind Box

POP MART Angry Molly - Angry Energy Series Plush Pendant Blind Box

POP MART Twinkle Twinkle Crush On You Series-Plush Pendent Blind Box

POP MART Twinkle Twinkle Crush On You Series-Plush Pendent Blind Box

POP MART DIMOO Moments in Bloom Series Figures

POP MART DIMOO Moments in Bloom Series Figures

Rezeki Bersama RM5

Rezeki Bersama RM5

POP MART Residents of Bikini Bottom-Whimsical Plush Part2 Blind Box (Whole Set)

POP MART Residents of Bikini Bottom-Whimsical Plush Part2 Blind Box (Whole Set)

Mofusand x Sanrio Family Plush Mini Keychain - Cute Gift

Mofusand x Sanrio Family Plush Mini Keychain - Cute Gift

Must-Watch Video

Advertisement