Sekilas
- Bai Lu menghadiahkan telefon pintar iPhone 18 Pro Max kepada lebih 10 anggota pasukan produksi termasuk pengawal peribadi, pemandu, dan jurugambar sebagai tanda penghargaan.
- Hadiah bernilai kira-kira RM10,000 setiap satu itu dikongsi di media sosial Weibo, menarik perhatian netizen yang teruja mahu bekerja dengannya.
- Selain hadiah mewah, Bai Lu juga dikenali sering membelanja kru dan memberi angpau semasa Tahun Baharu Cina, menunjukkan sikap positif dan menghargai pasukannya.
Aktres popular China, Bai Lu mencuri perhatian selepas menghadiahkan telefon pintar terbaharu kepada lebih 10 anggota pasukan yang bekerja bersamanya.
Tidak memilih jawatan, hadiah berkenaan dilaporkan turut diberikan kepada individu di belakang tabir termasuk pengawal peribadi, pemandu, pembantu, jurugambar dan pelakon lagak ngeri.
Menurut laporan Wolipop, Bai Lu menyediakan dua kotak besar berisi telefon pintar yang dipercayai model iPhone 18 Pro Max dengan kapasiti storan 1TB sebelum membawanya ke lokasi penggambaran.
Telefon berkenaan dilaporkan berharga sekitar 16,499 yuan seunit, bersamaan kira-kira RM10,000 berdasarkan harga di China.
Perbuatan aktres berusia 32 tahun itu mula diketahui selepas beberapa anggota staf berkongsi foto hadiah tersebut di platform media sosial Weibo.
Salah seorang staf yang sudah bekerja bersama Bai Lu selama enam tahun mendedahkan setiap anggota pasukan produksi menerima hadiah berkenaan.
“Semua orang mendapatkannya,” tulis staf tersebut.

Bukan pertama kali Bai Lu menunjukkan penghargaan terhadap mereka yang bekerja di belakang tabir, staf sama turut menyifatkan aktres berkenaan sebagai individu yang sentiasa membawa tenaga positif dan melayan orang di sekelilingnya dengan baik.
Menurutnya, Bai Lu juga sering membelanja kru dengan makanan dan minuman selain memberikan angpau setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina.
Staf berkenaan turut berharap orang ramai lebih berbaik sangka terhadap Bai Lu dan tidak menyebarkan khabar angin tidak berasas mengenainya.
Perkongsian mengenai hadiah mewah tersebut kemudiannya tular di Weibo sehingga ramai netizen berseloroh mahu bekerja dengan aktres terbabit.
“Bai Lu masih buka peluang pekerjaan?” antara reaksi netizen yang dipetik media.
Bai Lu merupakan antara aktres China popular menerusi beberapa drama termasuk ‘The Legends’, ‘One and Only’, ‘Till the End of the Moon’, ‘Story of Kunning Palace’ dan ‘Unveil: Jadewind’.
Pada awal tahun ini, Bai Lu turut memasuki fasa baharu dalam kerjayanya selepas berpisah dengan syarikat pengurusan lamanya dan menubuhkan studio sendiri.
Terbaharu, dia terlibat dalam drama ‘After the Bloom’ selain kekal sebagai anggota tetap program variasi ‘Keep Running’.
Sumber: Wolipop / AsiaOne