Sekilas
- Bella Astillah bersyukur dan teruja untuk memulakan fasa baharu dalam hidupnya bersama tunang, Syed Saddiq.
- Dia mendoakan agar perjalanan membina rumah tangga mereka sentiasa diberkati Allah SWT.
- Anak-anak Bella, Ayden dan Ara, sangat teruja dan tidak sabar menantikan hari pernikahan yang dijadualkan pada 10 Oktober 2026.
Bakal melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan, pelakon dan penyanyi Bella Astillah meluahkan rasa syukur diberikan peluang untuk bahagia lagi.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah juga mendoakan perjalanan membina rumah tangga bersama tunangnya iaitu Syed Saddiq sentiasa diberkati Allah.
“Perasaannya sangat berbeza. Mungkin kerana saya akan membuka satu bab baharu dalam kehidupan.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan. Sudah tentu, saya juga bersyukur kepada Allah SWT kerana memberikan peluang kepada saya sekali lagi.
“Semoga perjalanan ini sentiasa diberkati, insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Bella turut berkongsi bahawa dua anaknya, Ayden dan Ara, begitu teruja menantikan hari bahagia tersebut.
Menurut Bella, kedua-dua anaknya sering bertanyakan mengenai tarikh majlis dan tidak sabar untuk meraikan momen istimewa itu bersama mereka.
“Ayden dan Ara sangat gembira. Mereka selalu bertanya bila majlis akan berlangsung.
“Anak-anak memang tidak mempunyai masalah dan mereka sangat tidak sabar menantikan hari tersebut,” ujarnya.
Bella dan Syed Saddiq sebelum ini mengumumkan bakal melangsungkan pernikahan pada 10 Oktober 2026 sebelum meneruskan majlis resepsi di Muar, Johor pada 25 Oktober dan Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober.