Sekilas
- Datuk Fazley Yaakob menafikan sudah berkahwin atau bertunang dengan Datuk Seri Vida dan menjelaskan mereka masih perlu menyelesaikan beberapa perkara sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
- Mereka berdua berhasrat untuk berkahwin dalam masa terdekat tetapi perlu menghormati proses adat Melayu serta menyatukan keluarga masing-masing terlebih dahulu.
- Fazley menegaskan mereka akan melalui langkah merisik, bertunang, dan nikah secara teratur sebelum mengumumkan berita gembira kepada umum.
Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menafikan dakwaan dirinya sudah berkahwin dengan usahawan dan pempengaruh, Datuk Seri Vida (DSV).
Menurut Fazley atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Yaakob, mereka juga masih belum bertunang kerana perlu menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
“Alhamdulillah. Saya suka bila ada kata-kata manis dan doa-doa yang positif. Setiap kata-kata itu adalah satu doa. Jadi kalau kata kami dah kahwin, jawapannya belum. Bertunang pun belum.
“Adakah kami bakal disatukan? Itu memang perjalanan dan doa kami dan harapan, insya-Allah,” katanya kepada Gempak.
Fazley berkata demikian ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 X Cuckootopia di Hyatt Regency Kuala Lumpur pada Khamis..
Walau bagaimanapun, pelantun lagu Cerita Asmara ini mengakui dia dan DSV mempunyai hasrat untuk mendirikan rumah tangga dalam waktu terdekat.
Namun menjelaskan bahawa keputusan itu tidak boleh dilakukan terburu-buru kerana terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan, termasuk urusan keluarga dan dokumentasi.
“Kalau ikutkan, dua tiga minggu sebelum ini memang nak kahwin. Hati itu memang dah sampai, tapi apabila dua keluarga bakal disatukan, kita ada proses-proses untuk menjaga hati, menyatukan keluarga, ada ‘paperwork’ yang nak kena buat.
“Sebab yang berkahwin ini bukan teruna dan dara, tetapi duda dan janda. Jadi proses itu mengambil masa sedikit dan tunggu dan doakan yang terbaik,” katanya lagi.
Malah, Fazley memaklumkan dia dan DSV turut sepakat untuk menghormati adat Melayu dengan menjalani setiap proses yang sepatutnya sebelum mengumumkan sebarang berita gembira.
“Sebab saya dan DSV memang menjaga adat kerana kita ada orang-orang tua dalam keluarga. Orang tua sebelah keluarga saya, orang tua sebelah keluarga DSV.
“Jadi adat itu kita akan patuhi. Bermakna kita akan melalui proses merisik, bertunang, nikah dan sebagainya dan menghebahkan pada umum. Jadi nantikan, doakan supaya apa yang kami hasratkan, dua keluarga ini dapat disatukan secara halal, insya-Allah.
“Apabila masing-masing ada keluarga dan anak-anak, kita berbincang secara telus dan pada saya, adat Melayu itu perlu kita patuhi. Jadi tidak boleh melangkau apa-apa adat.
“Tak boleh tunang sebelum merisik, tak boleh nikah ataupun sebelum buat pengumuman dan sebagainya. Mesti ada langkah-langkah yang kita hormati.
“Tapi saya cakap ramai orang bertanya mengapa belum ada apa-apa paparan, pada saya begini. Kita beri laluan pada adinda-adinda saya, Bella Astillah dan Syed Saddiq. Selepas itu, insya-Allah mungkin kami pula yang akan melancarkan perjalanan dan melangsungkan apa yang perlu dilangsungkan, insya-Allah,” tambahnya.