Ringkasan AI
- Keluarga mentua pempengaruh Prince Syed tiba di Mahkamah Tinggi Klang untuk menghadapi pertuduhan.
- Mereka enggan memberi komen mengenai pertuduhan yang dihadapi hari ini.
- Ibu bapa mentua dan dua anak mereka pernah ditahan selepas perselisihan faham dan dibebaskan pada 3 November lalu.
- Tular video Aminah mendakwa Prince Syed berkahwin dengan Fatin untuk tujuan eksperimen dan memaksa anaknya jalani pembedahan bariatrik.
- Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan berhubung kes ini.
Keluarga mentua kepada pempengaruh, Prince Syed tiba di Mahkamah Tinggi Klang dipercayai bagi menghadapi pertuduhan.
Mereka yang tiba di perkarangan mahkamah sekitar jam 9.10 pagi walau bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen berhubung pertuduhan hari ini.
“Belum nak cakap apa-apa lagi,” kata bapa mentua Prince Syed.
Terdahulu, ibu dan bapa mentua Prince Syed iaitu Aminah Haniffa, 55, dan Ishak Saif, 59, serta dua anak mereka iaitu, Muhd Syahmi Faiz, 31, dan Muhd Ikhwan Alif, 22, ditahan bagi membantu siasatan selepas berlakunya perselisihan faham antara mereka.
Empat beranak itu terpaksa bermalam di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, sebelum dibebaskan kira-kira jam 7 pada 3 November lalu.
Sebelumnya, tular di laman sosial video Aminah ke sebuah rumah dan memaklumkan menantunya lari serta menghalang anak serta cucu berjumpa dengannya.
Dalam video sama, Aminah turut mendakwa Prince Syed berkahwin dengan Fatin untuk menjadikan wanita itu tikus makmal.
Dia mendakwa anaknya dipaksa menjalani pembedahan bariatrik bagi menjual produk pelangsingan badan.
Keadaan jadi bertambah buruk selepas berlaku perselisihan di kawasan perumahan Taman Bertih Laut, Teluk Pulai pada 2 November lalu.
Aminah dan suami serta tiga anaknya kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah dilapor mengesahkan Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan.