Aktor Ben Affleck secara terbuka memberitahu tidak menggalakkan tiga anak hasil perkahwinan dengan aktres Jennifer Garner mengikuti jejak langkahnya menjadi pelakon.
Tiga anak hasil perkahwinan dengan Garner adalah Violet, 20. Seraphina, 17, dan Samuel, 13 tahun. Kenyataan itu diberikan sewaktu mantan suami Jennifer Lopez itu mempromosi filem The Rip, baru-baru ini, lapor E!News.
“Anda mempertaruhkan hidup anak anda jika membenarkan mereka masuk ke dalam dunia glamor dan itu sangat sukar.
“Kami mahu mereka mempunyai pilihan sendiri dalam kehidupan dan apa yang ingin dilakukan,” ujar Affleck.
Bintang berusia 53 tahun itu kemudian menambah, oleh yang demikian dia tidak akan memaksa anak-anaknya mengikut jejak langkah dia mahupun Garner.
“Saya tidak mahu paksa mereka. Mereka bijak dan hebat dan kami sangat bangga dengan mereka.
“Dan saya harap mereka tidak buang masa dengan menjadi pelakon,” katanya lagi sambil bergurau.
Affleck juga memberitahu suka untuk melihat anak-anaknya bermula dari bawah dan membina kejayaan sendiri.
Affleck dan Garner berkahwin pada 2005 sebelum berpisah pada 2015 dan rasmi bercerai pada 2018.