Sekilas
- Zaquan Adha, suami pelakon Ayu Raudhah, mendapat perhatian selepas video dia membantu 'jump start' kereta di stesen minyak tular.
- Zaquan mengucapkan terima kasih kepada individu yang membantu dan memohon maaf jika mengganggu urusan mereka ketika menghantar anak ke sekolah.
- Beliau juga memohon maaf atas kesilapan melakukan 'jump start' di lokasi yang tidak sesuai dan berterima kasih atas teguran netizen.
Suami kepada pelakon Ayu Raudhah yang juga bekas pemain bola sepak negara, Zaquan Adha mencuri perhatian apabila seorang individu berkongsi momen membantu menghidupkan keretanya yang mengalami masalah di sebuah stesen minyak.
Menerusi video dikongsikan, individu berkenaan dilihat membawa keretanya berhampiran kenderaan Zaquan, manakala proses ‘jump start’ dilakukan sendiri oleh bekas pemain bola sepak itu.
“Benda paling rawak pagi ini bila Zaquan minta tolong ‘jump’ kereta dia.
“Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita tolong,” tulis individu berkenaan secara berseloroh.
Lebih menarik, Zaquan turut meninggalkan komen pada perkongsian tersebut dengan mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan selain memohon maaf sekiranya mengganggu urusan individu terbabit ketika mahu menghantar anak ke sekolah.

“Terima kasih atas keprihatinan tadi. Maaf kalau saya mengganggu masa abang nak hantar anak sekolah.
“Semoga Allah permudahkan urusan abang sekeluarga,” katanya.
Dalam masa sama, Zaquan turut memohon maaf susulan teguran netizen berhubung lokasi mereka melakukan ‘jump start’ kenderaan berkenaan.
“Maaf juga atas kekhilafan kami ‘jumper’ di tempat yang tidak betul tadi. Terima kasih atas teguran semua,” ujarnya.
Sumber: Threads