Sekilas
- Shahir berjaya turunkan berat badan sebanyak 12 kilogram dalam masa tiga minggu sebagai persiapan untuk bersaing di Gegar Vaganza Fantasia.
- Beliau mengamalkan diet ekstrem termasuk tidak makan selama seminggu dan jogging untuk capai berat ideal serta jaga kesihatan.
- Gegar Vaganza Fantasia musim ke-13 akan bersiaran selama 11 minggu setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria dan boleh distrim di Astro GO serta Sooka.
Bakal bersaing di pentas Gegar Vaganza Fantasia, penyanyi Shahir berjaya menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram dalam tempoh tiga minggu.
Menurut Shahir, dia terlalu selesa dengan dirinya sehingga tidak menyedari berat badannnya sudah mencecah 100 kilogram.
“Persiapan saya menjelang nak masuk GV ni memang saya nak kuruskan badan. Sebelum ini saya sangat selesa dengan keadaan diri saya sebab tak ada buat persembahan.
“Saya selesa pakai baju jubah sampai tak sedar yang badan ini dah jadi besar. Bila berat cecah 100 kg, mulalah rasa mengah.
“Jadi bagus juga la ada GV ini… membuatkan saya push diri untuk kuruskan badan semula selain untuk jaga kesihatan juga,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, juara Akademi Fantasia 8 ini mengakui dia melakukan diet yang ekstrem sehingga ada ketika pernah tidak makan selama seminggu hanya untuk turunkan berat.
“Saya diet agak hardcore juga. Ada seminggu saya tak makan kemudian saya joging. Ada juga saya makan mungkin makan sehari lepas itu, saya sambung tiga hari tak makan.
“Saya memang dari dulu. Kalau siapa yang pernah melihat saya dulu, saya macam yo-yo kan. Memang itulah caranya dan saya kena ada push factor.
“Kalau kata saja-saja nak kurus, taklah. Tapi bila ada macam ni kan tuntutan kerja ni, okeylah. Kita push diri kan,” ujarnya.
PROGRAM GEGAR VAGANZA FANTASIA
Berlangsung selama 11 minggu, ‘GV13’ akan bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam. Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan Sooka.
KAPSUL GEGAR VAGANZA FANTASIA
Menampilkan persiapan, momen di balik tabir, sesi temu bual serta permainan bersama para peserta setiap minggu sebelum program utama bermula.
VAZZ VAGANZA FANTASIA
Dihoskan selama 30 minit sejurus selepas program utama untuk menampilkan wawancara dan soal jawab bersama peserta dan juri ‘GV13’.