Sekilas
- Azar Azmi kini kembali aktif dalam dunia seni selepas kejayaan drama Bulan Henti Bicara dan menerima tawaran berlakon serta menjadi duta produk.
- Dia memilih untuk fokus pada kerjaya dan keluarga walaupun menghadapi kecaman serta komen negatif di media sosial, dengan tidak melayan provokasi.
- Azar akan muncul sebagai duta dalam Konsert Elegant Selamanya pada 30 Oktober di Zepp Kuala Lumpur bersama beberapa artis terkenal lain.
Setelah lama menyepi dan melalui episod hidup yang tidak mulus, Azar Azmi kini memilih melangkah dengan lebih yakin terutama selepas kembali ke persada seni.
Malah selepas kejayaan drama bersiri Bulan Henti Bicara, pemilik nama sebenar Siti Azar Ameerah Azmi, 36, mengakui mula menerima tawaran berlakon.
“Alhamdulillah, ada tawaran berlakon datang dan saya lakukan satu per satu. Selain tawaran berlaku saya juga menerima kepercayaan menjadi duta, jadi saya memang akan fokus kepada karier saya selepas ini,” kata Azar sewaktu ditemui dalam sidang media Konsert Elegant Selamanya di ibu kota, baru-baru ini.
Kata Azar lagi, dia memilih menyibukkan diri dengan kerja serta menguruskan keluarga meski masih banyak cakap kosong di belakang mengenai jenayah yang dilakukan suaminya.
Dia juga enggan membiarkan kecaman di media sosial mengganggu perjalanan baharunya selain tidak berminat meneliti setiap komen yang ditinggalkan netizen di media sosial.
Menurut pelakon Bisikan Dosa itu, tidak semua komen negatif perlu diambil serius, apatah lagi jika ia sekadar bertujuan mencetuskan provokasi.
“Sebenarnya saya tidak membiasakan diri menjadi hamba online dengan membaca kutukan atau kecaman. Kebanyakan komen buruk, bukan kritikan membina, tak perlu kita simpan. Ada yang kita baca, kita boleh ambil iktibar. Ada yang kita tengok, kita boleh simpan dan ada yang kita lihat, kita ‘just swipe’.
“Mana yang okey kita ambil, mana yang tak okey, biarkan sahaja. Pada saya, lebih baik begitu daripada biarkan komen pedih memberikan tekanan,” katanya.
Azar pada masa sama mengakui dirinya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan perhatian serta komen orang ramai selepas kembali aktif dalam industri hiburan.
Namun, dia tidak melihat kritikan dan kecaman sebagai sesuatu yang perlu menghalang langkahnya untuk terus bekerja.
“Nak kata lali itu tidak, masih di fasa membiasakan diri. Untuk kata saya kebal pun tidaklah. Kita manusia, kita pun ada hati dan perasaan.
“Kadangkala kata orang itu kita boleh tersinggung, tetapi seperti saya cakap, tak semua pun untuk kita tunjuk benda itu kepada orang,” ujarnya.
Bagi Azar, melayan komen berbaur provokasi hanya akan membuka ruang kepada konflik yang lebih besar.
“Kalau muncul komen yang bukan-bukan, saya tak layan sebab kadangkala orang jenis macam ini, lagi kita layan, lagi menjadi-jadi.
“Kita tak tahu dia itu siapa. Dia mungkin golongan yang kekurangan sesuatu atau dia cuma berseloroh.
“Jadi tak perlu pun hal tak penting begitu kita ambil peduli,” katanya.
Sementara itu, Azar bakal muncul pada Konsert Elegant Selamanya yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Oktober ini sebagai duta Elegant Cosmetic. Konsert bersempena ulang tahun ketujuh syarikat penganjur itu turut menampilkan Datuk Ziana Zain, Erra Fazira, Adira, Elite Audra dan Zaki Yamani.