Skip to main content

Hiburan

Berhabis Puluhan Ribu Untuk Album Sulung, Didie Shazry Tak Kisah Kalau Kena Kritik - "Saya Masih Belajar..."

Didie Shazry

Penyanyi dan komposer, Didie Shazry baharu sahaja melancarkan album sulungnya iaitu Demi Sebuah Rindu selepas bergelar juara Raise The Star Malaysia (RTSMY) baru-baru ini.

Meskipun ini album yang pertama, Didie atau nama lengkapnya, E.D. Shazry Aman tidak kisah menerima kritikan kerana baginya penghasilan album tersebut merupakan titik penting dalam perjalanannya sebagai seorang pengkarya.

“Sejujurnya, lagu dalam projek ini Didi hasilkan tiga tahun lepas, masa tu saya masih belajar. Sekarang pula, setiap hari saya belajar untuk menggubah dan mencipta melodi yang menarik.

“Didi banyak belajar bagaimana menghasilkan melodi yang senang melekat di kepala orang, seperti lagu Pegang Hati ciptaan Aina Abdul. Semua itu adalah sebahagian daripada proses pembelajaran saya,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Peganglah Hati itu juga turut berharap lagu ciptaannya itu dapat diterima serta mendapat tempat di hati pendengar.

“Saya sangat menghargai karya sendiri dan berharap lagu-lagu yang saya hasilkan dapat diterima oleh semua. Saya akan terus belajar kerana ilmu itu tidak akan pernah habis,” ujarnya.

Mengulas mengenai kos pembikinan projek tersebut, Didie memaklumkan jumlah keseluruhan perbelanjaan mencecah hampir RM80,000.

Didie juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MyCreative Ventures atas kepercayaan serta sokongan dana yang diberikan bagi merealisasikan projek berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Didie juga kini sedang mengikuti jelajah Live at Aloft Amplified bersama Fajar Noor , Adrian Khalif , Kunto Aji , Bilal Indrajaya , Adikara , Nadhif Basalamah. 

Live at Aloft Amplified berlangsung dari 10 Januari sehingga 13 Februari di Jakarta , Bali dan Surabaya, Indonesia. 

Must-Watch Video

Advertisement