Sekilas
- Zaki Yamani mengakui bapanya, Datuk Jamal Abdillah, tahu tentang gosip hubungannya dengan Azeva.
- Jamal menukar topik perbualan selepas mendapat jawapan.
- Zaki kini melangkah ke fasa baharu dalam kerjaya dengan menyertai Sony Music Malaysia, diumumkan dalam majlis menandatangani perjanjian yang turut dihadiri peminat dan ahli fan club.
Penyanyi, Zaki Yamani mengakui bapanya, Datuk Jamal Abdillah mengetahui tentang gosip yang mengaitkan dirinya dengan Azeva iaitu anak kepada penerbit dan pelakon, Datuk A Aida.
Berkongsi momen tersebut, Zaki berkata perkara itu diketahui selepas bapanya sendiri bertanyakan mengenai hubungannya dengan Azeva ketika mereka berbual.
“Ada, bapa saya ada bertanya mengenai Azeva, dia tanya ‘kamu dengan Azeva kawan ke?’
“Perbualan itu hanya sampai di situ sahajalah dan saya jawab ‘ya kami kawan sahaja,’ selepas itu bapa saya ubah topik lain pula,” ujarnya.
Zaki berkata demikian semasa ditemui di Majlis Eksklusif bersama Zaki Yamani di St. Giles Boulevard Hotel, baru-baru ini.

Bagaimanapun kata Zaki, topik itu tidak berlanjutan panjang apabila Jamal menukar perbualan kepada perkara lain selepas menerima jawapan anaknya.
“Ayah saya ini dia seorang yang random sebenarnya, dia akan tanya benda-benda lain, dia tanya ini dia berhenti, dia tanya itu dia berhenti. Dia juga sudah berusia, mungkin sebab itu jugalah.
“Dia okay sahaja kami berkawan tapi dia berpesan untuk lebih fokus pada kerjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Zaki mengakui pada mulanya dia sendiri tertanya-tanya bagaimana Jamal boleh mengetahui mengenai gosip yang sedang dikaitkan dengan dirinya.
Namun selepas bertanyakan pada abangnya iaitu Osama Yamani, barulah dia mengetahui bapanya kini sudah pandai menggunakan platform media sosial, TikTok.
“Itu yang saya pelik mana dia dapat tahu mengenai semua hal itu? Kemudian saya tanya abang saya, rupanya dia buka TikTok dekat rumah, dah pandai main ‘phone’.
“Dulu tak pandai sangat, dia hanya buka Whatsapp dan hantar sticker, ayat-ayat ruqyah, selawat. Ini sudah buka TikTok.
“Setakat ini apa yang dia nampak, dia tahu yang saya tengah pergi gim,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Zaki secara rasminya melangkah ke fasa baharu dalam kerjayanya apabila menyertai syarikat rakaman antarabangsa, Sony Music Malaysia.
Berita itu berkenaan diumumkan menerusi sebuah Majlis Menandatangani Perjanjian (Signing Ceremony) yang berlangsung semalam, melibatkan Zaki dan Sony Music Malaysia.
Majlis dihadiri Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong.
Bukan hanya itu, majlis istimewa tersebut turut diserikan dengan kehadiran peminat serta ahli Fan Club Zaki Yamani yang memberikan sokongan dan bersama-sama meraikan satu lagi detik penting dalam perjalanan kerjaya seninya.