Sekilas
- Larenme Sdn Bhd, agensi PR dan media milik Asyraf Khalid, kini menguruskan kerjasama jenama dan komersial bersama Syed Saddiq dan empat pempengaruh lain.
- Larenme ditubuhkan pada 2024 dan berkembang dari empat ke lebih 15 kakitangan, menawarkan perkhidmatan seperti liputan media, kempen media sosial, podcast dan pengurusan acara.
- Antara pelanggan Larenme termasuk syarikat multinasional, GLC, korporat dan PKS, dengan pembahagian peranan jelas antara pengarah eksekutif dan CEO syarikat.
Agensi perhubungan awam (PR) dan media milik usahawan, Asyraf Khalid iaitu Larenme Sdn Bhd (Larenme) kini menguruskan kerjasama jenama dan komersial bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta empat lagi pempengaruh.
Selain Syed Saddiq, empat pempengaruh yang dimaksudkan termasuklah abang kepada Syed Saddiq iaitu Syed Abdullah Syed Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai SpaceDollah, serta Dzulfaqar, Papa Ayie dan Boss James.
Menurut Asyraf selaku Pengarah Eksekutif Larenme, pihaknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh penjenamaan dan kedudukan komersial bakat-bakat berkenaan dalam pasaran.
“Pada awalnya, kami berdepan kekangan dari segi saluran transaksi kewangan. Jadi, saya mendapatkan bantuan sahabat baik saya sejak lebih 10 tahun lalu, Nazrin Kamal.
“Bermula dengan bayaran RM250 bagi setiap transaksi, ia akhirnya berkembang kepada perbincangan pemegangan saham 50:50 antara kami,” katanya ketika sambutan ulang tahun kedua Larenme, baru-baru ini.
Mengimbas kembali perjalanan Larenme, Asyraf berkata syarikat berkenaan ditubuhkan pada 2024 dengan hanya empat kakitangan sebelum berkembang kepada lebih 15 pekerja ketika ini.
Katanya, idea untuk menubuhkan Larenme tercetus selepas beliau sering menghubungkan kenalan korporat dengan selebriti dan pempengaruh bagi tujuan kerjasama.
Selain menguruskan jenama Syed Saddiq, Larenme turut menyediakan perkhidmatan liputan media, kempen media sosial, podcast dan pengurusan acara kepada pelbagai kategori pelanggan.
Antara pelanggan yang disasarkan termasuk syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), korporat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Larenme, Nazrin Kamal berkata perkembangan syarikat itu turut didorong pembahagian peranan yang jelas antara beliau dan Asyraf.
“Beliau lebih kepada pemikir utama syarikat, manakala saya lebih kepada aspek pelaksanaan,” katanya.
Ketika ini, Larenme menyediakan perkhidmatan termasuk liputan media, kempen media sosial, podcast dan pengurusan acara kepada pelbagai kategori pelanggan, termasuk syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).