Sekilas
- Beto Kusyairy menganggap watak Yasser dalam drama siri Astro Shaw, Good Boys Go To Heaven, sebagai cabaran terbesar dalam kerjayanya kerana isu berat yang diangkat.
- Drama lapan episod ini mengisahkan seorang bapa yang menjadi suspek utama selepas anaknya ditemui mati dibunuh secara kejam.
- Beto menegaskan dia berhati-hati memilih naskhah drama bersiri kerana tempoh penggambaran yang panjang boleh menjejaskan kualiti lakonannya.
Pelakon hebat, Beto Kusyairy, menyifatkan watak yang dibawanya dalam naskhah bersiri terbaharu terbitan Astro Shaw, Good Boys Go To Heaven, sebagai antara cabaran paling berat dalam kerjayanya.
Memegang peranan sebagai Yasser, Beto menyifatkan jalan cerita dan isu yang diangkat dalam drama lapan episod itu sebagai faktor utama yang membuatkan dirinya kembali beraksi dalam drama bersiri.
“Berat nak mati. Berat semua berat. Tapi antara sebab saya nak buat adalah kerana keberatan isu itu sendiri. Dan ini adalah tulisan Mira Mustaffa,” katanya.
Tambah Beto, keterujaan dirinya terhadap projek ini bertambah kerana naskhah ini merupakan tulisan daripada Mira Mustaffa, yang mana kali terakhir mereka bekerjasama adalah menerusi drama bersiri popular, Kekasihku Seru.
“Saya terus cakap dengan Mira, okay… consider sebelah kaki masuk. Sebab isu-isu dan penceritaan itu sangat fresh dan perlu diberitahu kepada khalayak.
“Ini satu bentuk social responsibility untuk diri saya. Naskhah ini perlu untuk masyarakat menonton,” jelasnya.
Dalam masa sama, Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33 itu turut menepis tanggapan segelintir pihak yang mendakwa dirinya tidak gemar berlakon drama bersiri.
“Eh ya ya, menepis. Pandai je diorang, ” katanya.
Bagaimanapun, Beto mengakui dia sangat berhati-hati memilih naskhah bersiri kerana jangka masa penggambaran yang panjang boleh menjejaskan kualiti kerja lakonannya.
“Saya ada masalah bila terlalu lama terlibat dalam satu projek. Kalau 13 episod pun saya cukup susah nak buat kalau naskhah itu sendiri tak membantu beri keterujaan.
“Hasil kerja saya akan jadi ‘asal boleh’ dan itu bahaya. Pernah terjadi pada saya sebelum ini,” katanya.
“Sebab itu saya hadkan. Kalau naskhah tu best, interesting dan sedap nak layan, saya okay,” katanya.
Good Boys Go To Heaven mengangkat kisah seorang bapa, Yasser, yang berdepan detik cemas apabila kehilangan anaknya, Ahyan. Lebih memilukan apabila anak kecil tersebut ditemui mati dibunuh secara kejam, sekali gus menjadikan Yasser suspek utama.
Drama lapan episod terbitan Astro Originals itu bakal ditayangkan tahun hadapan dan turut dibintangi Firdaus Karim, Amirul Affendi, Sky Iskandar dan Malek McCrone.