Sekilas
- Danny Ismail mengakui dia ada firasat akan disingkirkan selepas persembahan kurang memuaskan pada konsert suku akhir Big Stage Rocketfuel.
- Dia bersyukur tiada penyingkiran berlaku dan menganggap kritikan juri sebagai pembelajaran untuk memperbaiki diri.
- Danny masih bergelut dengan rasa gementar ketika bertanding dan berharap ia akan berkurang apabila sampai ke separuh akhir.
Bintang Big Stage Rocketfuel (BSR), Danny Ismail mengakui mempunyai firasat akan disingkirkan daripada program tersebut apabila merasakan tidak berikan yang terbaik pada konsert suku akhir.
Bagaimanapun, Danny meluahkan rasa syukur selepas diumumkan tiada penyingkiran berlaku pada minggu tersebut.
"Saya sebenarnya dah rasa macam saya yang akan terkeluar sebab persembahan saya tadi kurang best. Ada bahagian yang flat juga. Lepas tu saya nampak muka kakak saya. Dia macam bagi isyarat, 'tak apa, tak apa'. Jadi saya memang dah jangka mungkin saya yang akan keluar.
"Alhamdulillah, bila diumumkan tiada penyingkiran, saya rasa sangat lega. Dapat masuk ke separuh akhir pun saya dah bersyukur," katanya kepada Gempak.
Mengulas mengenai komen juri, Danny mengakui segala kritikan yang diterima adalah sesuatu yang wajar memandangkan dia bukan seorang penyanyi profesional.
Menurutnya, setiap teguran akan dijadikan sebagai pembelajaran untuk terus memperbaiki diri.
"Bagi saya, ini semua adat pertandingan. Saya pun sedar saya bukannya penyanyi profesional. Saya masih belajar dan apa yang berlaku malam ini memang sepadan dengan persembahan yang saya berikan. Saya sendiri tak puas hati sebab saya sedar saya ada buat kesilapan.
"Dari awal-awal lagi saya dah rasa macam, 'alamak, dah salah'. Saya tak cukup nafas sebab terlalu gementar, tambahan pula lagu itu memang memerlukan tenaga yang tinggi. Jadi saya agak semput sedikit," katanya lagi.
Dalam pada itu, Danny mengakui perasaan gementar ketika bertanding masih menjadi cabaran terbesar buat dirinya.
Ujarnya, dia masih hijau dalam pertandingan nyanyian menyebabkan dia sukar mengawal rasa gugup setiap kali berada di pentas.
"Saya memang ada masalah nervous yang susah nak dikawal. Dekat belakang pentas pun tangan saya memang sejuk sepanjang masa. Saya harap bila dah sampai ke separuh akhir ini, lama-kelamaan rasa gementar itu akan hilang.
"Saya sebenarnya nervous bertanding, bukan menyanyi. Saya tak ada pengalaman bertanding, tiba-tiba dapat pentas besar macam ini memang rasa cuak. Bila tengok peserta lain dah mula tunjuk taring masing-masing, saya jadi lebih gementar," tambahnya.