Sekilas
- Emran Rijal berkongsi mesej peribadi daripada Hussain yang meluahkan rasa kecewa walaupun berjaya mara ke minggu seterusnya Big Stage X Rocketfuel.
- Emran memberi kata-kata semangat kepada Hussain dan mengajak peminat untuk terus menyokongnya kerana perjuangan Hussain bukan mudah, terutama berjauhan dari keluarga.
- Emran juga menawarkan untuk menaja busana Hussain bagi persembahan seterusnya, yang mendapat reaksi positif daripada netizen.
Pereka fesyen dan usahawan, Emran Rijal menyorot perhatian apabila berkongsi mesej peribadi yang diterimanya daripada Hussain sejurus selesai konsert minggu keempat pada Ahad.
Menerusi perkongsian di Threads, dapat dilihat tangkap layar memaparkan hantaran mesej dibuat Hussain kepada Emran yang meluahkan rasa kecewa terhadap persembahannya meskipun berjaya mara ke minggu seterusnya.
“Salam bang, saya minta maaf. Gagal lagi malam ni,” luah Hussain.
Tidak mahu Hussain menyalahkan diri sendiri, Emran yang juga suami kepada pempengaruh Tyra Kamaruzzaman tampil memberikan kata-kata semangat kepada anak penyanyi Jamilul Hayat itu.
“Jangan kata gagal. Hussain tak gagal. Cuma Hussain tak cukup puas hati dengan malam ni, which is good! Sebab Hussain tahu yang Hussain boleh buat lagi better next week.
“Hussain dah cukup hiburkan semua orang dan fans Hussain malam ni, semua kagum dengan performance malam ni.
“Chin up brother. Show them what’s next,” balasnya.
Dalam masa yang sama, Emran memganggap ucapan maaf yang diluahkan Hussain membawa maksud yang cukup mendalam memandangkan dia telah banyak berkorban sepanjang menyertai Big Stage X Rocketfuel.
“‘Saya minta maaf’ sebenarnya sangat mendalam. It’s not easy bila you berjauhan dari keluarga, environment yang berbeza untuk berbulan-bulan.
“Inilah masa fans Hussain perlu bagikan semangat pada dia,” tulisnya.
Terdahulu, nama Emran dan Hussain menjadi bualan warganet apabila ramai berpendapat wajah mereka mempunyai iras yang hampir sama.
Susulan itu, Emran memuat naik satu hantaran di media sosial menyatakan hasrat untuk menaja busana buat Hussain bagi persembahannya di Big Stage, sekali gus menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen.
Sumber: Threads