Sekilas
- Yad-Z menafikan dakwaan dia 'anak emas' Big Stage Rocketfuel dan menegaskan keputusan pertandingan adalah di bawah pihak produksi.
- Dia mengakui sudah biasa dengan tekanan selepas beberapa kali berada dalam kelompok markah rendah tetapi tetap bersemangat untuk terus berjuang.
- Yad-Z bertekad untuk terus memperbaiki persembahan walaupun menerima pujian daripada juri pada minggu suku akhir.
Sering terselamat daripada penyingkiran, bintang Big Stage Rocketfuel (BSR), Yad-Z menafikan dakwaan kononnya dia merupakan 'anak emas' dalam pertandingan nyanyian itu.
Menurut Yad-Z, segala keputusan yang dibuat sepanjang pertandingan adalah di bawah bidang kuasa pihak produksi.
“Bagi saya kalau nak istilah anak emas tu tiada pun sebenarnya, sebab apa-apa keputusan semua bergantung kepada pihak produksi.
“Kalau nak cakap saya anak emas itu tidaklah, semua diberi layanan sama rata,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Yad-Z mengakui dia kini semakin matang berdepan tekanan pertandingan selepas beberapa kali berada dalam kelompok peserta yang menerima markah rendah.
Namun, perkara itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk terus berjuang.
"Bila dah beberapa kali berada di Bottom 3, saya dah boleh biasakan diri. Bukanlah tak rasa apa-apa, tetap ada rasa.
“Cuma kalau saya tersingkir sekalipun, saya keluar dengan cara yang baik. Biar orang kata, 'tak apalah dia tersingkir, tapi sekurang-kurangnya dia dah buat yang terbaik',” ujarnya.
Yad-Z juga berkata, segala pujian yang diterima daripada juri pada minggu suku akhir tidak akan membuatkan dirinya cepat berpuas hati.
Sebaliknya, dia mahu terus memperbaiki kelemahan yang masih ada untuk memberikan persembahan yang lebih baik pada dua minggu terakhir di BSR.