Sekilas
- Sufie Rose menerima komen juri dengan hati terbuka dan menganggapnya sebagai panduan untuk memperbaiki persembahan dalam Big Stage Rocketfuel.
- Walaupun tersingkir pada minggu kedua dengan markah 57.33%, Sufie menghargai pengalaman dan percaya dia boleh buat lebih baik jika diberi peluang.
- Big Stage Rocketfuel menampilkan 11 peserta yang berentap untuk memenangi kontrak pembangunan artis bernilai sehingga RM200,000, dengan siaran setiap Ahad di Astro Ria.
Bintang Big Stage Rocketfuel (BSR), Sufie Rose mengakui menerima setiap komen dan kritikan daripada barisan juri dengan hati yang terbuka semasa menilai persembahannya.
Menurut Sufie, dia menganggap komen para juri itu sebagai panduan untuk terus memperbaiki mutu persembahannya.
“Saya terima komen juri dengan hati yang terbuka, sebab itu perlunya ada juri-juri yang memberikan komen supaya dapat menghakimi kami semua.
“Saya pun masih baharu, jadi kita pun perlukan maklum balas daripada mereka. Itu lebih bagus.
“Pada saya juri sangat tegas, tapi tak mengapa, kita pun faham sebab ini Big Stage dan fokus lebih kepada vokal, jadi begitulah,” katanya.
Sufie berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media konsert minggu kedua Big Stage Rocketfuel yang berlangsung di Auditorium MBSA pada Ahad.

Dalam masa sama, Sufie juga tidak menafikan berasa sedih apabila perjalanan dalam pertandingan itu terhenti seawal minggu kedua.
Bagaimanapun, Sufie menyifatkan pengalaman menyertai BSR sebagai sesuatu yang sangat berharga.
“Sejujurnya memang rasa sedih sebab nak kena tinggalkan kawan-kawan yang lain dan juga pengalaman saya terhenti di minggu kedua.
“Seperti anda semua lihat, juri kita iaitu Akim pun ada kata yang persembahan saya minggu ini lebih baik berbanding minggu lalu.
“Dengan pemilihan lagu yang tepat, kalau diberi peluang saya rasa saya akan buat lebih baik lagi,” ujarnya.
Terdahulu, Sufie yang menyampaikan lagu Panas nyanyian asal kumpulan De Fam diumumkan sebagai bintang yang tersingkir dengan peratusan markah sebanyak 57.33 peratus.
Sepanjang lapan minggu pertandingan, para bintang bakal berentap dengan tiga pemenang utama bakal menerima Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 secara keseluruhan.
Seramai 11 peserta yang bersaing pada musim ini terdiri daripada Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina, duo Adam & Nazmie serta finalis TTMM2 iaitu Hussain yang dipilih menerusi ‘Exclusive Spot’.
Hadiah itu merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.
Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva, jangan lupa untuk saksikan Big Stage X Rocketfuel setiap hari Ahad pada jam 9 malam di Astro Ria serta strim episod penuh menerusi Astro GO dan Sooka.