Sekilas
- Hussain dinobatkan juara Big Stage X Rocketfuel selepas 18 minggu berjuang dalam dua program berbeza, menganggap kemenangan itu sebagai rezeki dan hadiah buat keluarganya.
- Dia berterima kasih kepada keluarga, peminat, dan rakan-rakan yang menyokong sepanjang perjalanan, serta menganggap mereka seperti keluarga sendiri.
- Hussain membawa pulang wang tunai RM30,000, single terbitan Rocketfuel, peruntukan pengurusan kerjaya bernilai RM100,000, dan trofi sebagai hadiah kemenangan.
Bintang program Big Stage X Rocketfuel, Hussain meluahkan rasa syukur selepas dinobatkan sebagai juara bagi program berkenaan yang berlangsung pada Ahad.
Menurut Hussain atau nama lengkapnya Jamak Hussain Jamilul Hayat, dia menanggap kemenangan tersebut sebagi satu rezeki tidak dapat dilupakan ditambah pula ia diperoleh selepas melalui perjalanan selama 18 minggu sepanjang penyertaannya dalam dua program yang berbeza.
“Alhamdulillah sebab saya dah buktikan yang terbaik pada orang Malaysia. Ini adalah satu rezeki dan momen yang saya tak dapat lupakan.
“Ini adalah doa daripada keluarga dan peminat yang sentiasa sokong saya daripada saya kosong sampai sekarang.
“Penat lelah saya selama 18 minggu dalam pertandingan ini memang sangat penat, sebab itu saya sujud lama,” katanya kepada Gempak.
Tambah Hussain, kemenangan tersebut juga dianggap sebagai hadiah buat kedua-dua orang tua lebih-lebih lagi bapanya yang juga penyanyi, Jamilul Hayat kerana telah bangak memberikan nasihat dan tunjuk ajar sepanjang perjalanan seninya.
“Sebenarnya kemenangan ini adalah hadiah saya kepada bapa saya. Saya nak banggakan kedua-dua ibu bapa, keluarga dan terutama peminat saya.
“Sebelum ini saya banyak mengecewakan dia, biasalah zaman budak-budak dan remaja dulu nakal. Jadi benda inilah yang saya nak hadiahkan kepada dia,” ujarnya.
Bercakap mengenai penglibatannya dalam dua program iaitu Talk To My Manager 2 (TTMM) dan Big Stage X Rocketfuel selama 18 minggu, Hussain sempat berseloroh mengatakan dirinya mahu tidur selama dua hari untuk berehat.
“Saya nak tidur dua hari jugalah kalau boleh. Sangat sukar bagi saya, tapi benda ini akan buatkan saya rindu balik.
“Saya bersyukur dapat kawan-kawan macam mereka, banyak tunjuk ajar. Saya dah anggap mereka macam keluarga daripada TTMM lagi. Saya tak terasa macam bertanding pun, saya rasa macam kita kerja tapi dalam satu keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Hussain turut meluahkan rasa lega dan seronok kerana sudah boleh menikmati makanan kegemarannya selepas sekian lama berpantang demi menjaga kualiti suaranya.
“Saya dah boleh makan durian, minum air berais dan makan apa yang saya nak.
“Sebelum ini saya banyak pantang, tak boleh makan minyak, tak boleh minum air sangat dan tak boleh makan durian. Durian itu kegemaran saya, sampai musimnya dah habis,” katanya lagi.
Pada malam kemuncak program Big Stage X Rocketfuel yang berlangsung pada Ahad, Hussain dinobatkan sebagai juara sekaligus membawa pulang wang tunai RM30,000, sebuah single terbitan Rocketfuel Entertainment, selain peruntukan pengurusan kerjaya dan pemasaran single bernilai RM100,000 tajaan Rocketfuel Entertainment serta sebuah trofi.