Sekilas
- Yad-Z dari Big Stage Rocketfuel terharu ketika menyanyikan lagu Fatwa Pujangga kerana liriknya mengingatkan dia pada arwah ibu bapanya.
- Dia cuba menahan air mata semasa persembahan agar tidak mengganggu fokus, tetapi menangis selepas selesai menyanyi.
- Yad-Z berkongsi bahawa arwah ibunya banyak menyokong dan membimbingnya dalam seni, terutama dalam nyanyian qasidah dan tradisional.
Bintang Big Stage Rocketfuel (BSR), Yad-Z tidak dapat menahan sebak selepas membawakan lagu Fatwa Pujangga apabila bait-bait lirik lagu tersebut mengimbau kembali kenangan bersama arwah ibu bapanya.
Menurut Yad-Z, selepas meneliti lirik lagu berkenaan, dia mendapati setiap bait mempunyai kaitan rapat dengan kehidupannya, sekali gus membuatkan emosi ketika persembahan sukar untuk dikawal.
“Bila saya dah study lagu itu, setiap bait lirik memang sangat relate dengan arwah ibu bapa saya. Jadi, perasaan itu sedih dan saya rasa itu yang memberi impak kepada persembahan saya.
“Sebenarnya saya dah nak menangis semasa persembahan, tetapi saya cakap pada diri sendiri, jangan menangis sebab nanti ia akan mengganggu persembahan.
“Jadi ia akan nampak tidak profesional dan saya teruskan persembahan untuk berikan yang terbaik,” katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun, sebaik sahaja selesai membuat persembahan, Yad-Z mengakui sudah tidak mampu menahan sebak lalu membiarkan emosinya diluahkan.
“Selepas menyanyi, saya memang dah tak tahan sangat, jadi saya cakap, nangis sahajalah, jangan tahan. Saya tiada tempat mengadu. Selama berminggu-minggu di sini, saya tak ada tempat untuk saya meluah dengan ibu bapa.
“Jadi bila saya tulis surat itu, memang sedih, cuma saya rasa ia sedikit membantu saya meluahkan rasa rindu,” katanya lagi.
Berkongsi mengenai hubungan dengan arwah ibu bapanya, Yad-Z berkata dia tidak sempat membesar bersama bapanya yang meninggal dunia ketika dirinya masih kecil.
Sebaliknya, arwah ibunya menjadi insan yang paling banyak memainkan peranan dalam kehidupan serta perjalanan seninya sejak kecil.
“Saya tak membesar dengan arwah ayah saya sebab dia pergi ketika saya masih kecil, jadi semuanya dengan mak. Arwah mak memang menyokong saya menyanyi sebab dari kecil saya dah mula masuk nasyid.
“Dia juga seorang penyanyi ghazal dan tradisional. Dia yang banyak mengajar saya qasidah dan cekuk tradisional. Lagu Fatwa Pujangga ini adalah lagu kegemaran arwah mak saya. Itu juga yang membuatkan saya semakin sedih,” ujarnya.