Sekilas
- Hussain Jamilul Hayat beri respon terhadap reaksi netizen selepas persembahan lagu Here Without You di Big Stage Rocketfuel minggu ketiga.
- Dia menghormati pandangan orang ramai dan berjanji akan terus belajar serta memperbaiki diri berdasarkan kritikan yang diterima.
- Big Stage Rocketfuel kini menyaksikan Sabrina tersingkir, manakala Adam Nazmie menduduki tempat pertama dengan markah tertinggi.
Bintang Big Stage Rocketfuel (BSR), Hussain Jamilul Hayat tampil memberikan respon susulan persembahannya pada minggu ketiga program berkenaan yang mengundang pelbagai reaksi netizen.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di platform Threads, Hussain berkata dia memahami tidak semua pihak dapat menerima pendekatan yang dibawakan ketika mempersembahkan lagu Here Without You.
Tidak ambil hati, Hussain bagaimanapun menghormati setiap pandangan yang diberikan selain menjelaskan dia ingin menyampaikan jalan cerita lagu melalui konsep yang diyakininya.
“Saya faham bukan semua orang akan menerima cara saya menyampaikan lagu ini, dan saya hormati setiap pandangan.
“Niat saya bukan untuk mempermainkan lagu, tetapi untuk menceritakan kisahnya melalui konsep yang saya percaya,” jelasnya.

Dalam hantaran yang sama, Hussain berkata dia menerima segala kritikan diberikan dan akan dijadikan sebagai pembakar semangat untuk terus memperbaiki kelemahan yang ada.
“Terima kasih kepada semua yang memberi teguran dan juga yang terus menyokong saya.
“Saya akan terus belajar, memperbaiki diri, dan memberikan yang terbaik di setiap persembahan. Support semua orang okay, love you guys!!” coretnya.
Minggu ketiga Big Stage Rocketfuel menyaksikan Sabrina diumumkan sebagai peserta kedua yang tersingkir.
Manakala, kedudukan pertama pula menjadi milik Adam Nazmie menerusi lagu Raikan Cinta nyanyian Datuk M. Nasir dengan markah tertinggi iaitu 74.33 peratus.
Seramai 11 peserta yang bersaing pada musim ini terdiri daripada Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina, duo Adam & Nazmie serta finalis TTMM2 iaitu Hussain yang dipilih menerusi ‘Exclusive Spot’.
Hadiah itu merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.
Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva, jangan lupa untuk saksikan Big Stage X Rocketfuel setiap hari Ahad pada jam 9 malam di Astro Ria serta strim episod penuh menerusi Astro GO dan Sooka.