Sekilas
- Scha Alyahya kini dalam proses menerbitkan filem pertamanya dan sedang mencari pihak yang berminat untuk membiayai projek tersebut.
- Pelakon berusia 42 tahun itu bercadang untuk menjadi penerbit dan melihat trend pelakon tempatan semakin berani menceburi bidang penerbitan.
- Scha dan suaminya, Awal Ashaari, diumumkan sebagai pengasas bersama platform e-dagang penstriman langsung, JAM, yang kini meluaskan operasi ke pasaran pengguna berbahasa Melayu.
Selepas lebih dua dekad bergelar anak seni, pelakon Scha Alyahya kini bersedia membuka lembaran baharu dalam karier apabila mengakui kini sedang dalam proses menerbitkan filem pertamanya.
Menurut Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir, dia baru sahaja selesai mengadakan mesyuarat bagi projek filem tersebut dan kini sedang mencari pihak yang berminat untuk membiayai penerbitan karya berkenaan.
“Saya baru selesai meeting untuk filem yang seterusnya, tapi tidak tahu bila akan mulakan penggambaran. Sekarang masih mencari mana-mana pihak yang sudi menjadi funder.
“Saya merancang ke arah menjadi seorang penerbit sebab saya rasa bila lagi nak mencuba,” katanya.
Scha berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman dirinya bersama suami, Awal Ashaari sebagai pengasas bersama platform e-dagang penstriman langsung, JAM, di ibu negara, semalam.
Tambah pelakon berusia 42 tahun itu, dia melihat semakin ramai pelakon tempatan kini berani menceburi bidang penerbitan seperti yang sudah lama berlaku di luar negara.
“Saya selalu tengok di luar negara, kenapa pelakon boleh jadi penerbit.
“Di Malaysia, trend itu baru berlaku sejak kebelakangan ini. Semakin ramai yang berani seperti Aedy Ashraf.
“Tetapi ada risikonya, sama ada berani atau tidak sahaja,” ujarnya.
Dalam masa sama, Scha berkata, pengalaman bekerja di hadapan kamera selama ini menjadi kelebihan untuk memahami keseluruhan proses penerbitan sesebuah karya.
“Pengalaman saya dalam industri membuatkan saya tahu selok-belok kerja di belakang tabir.
“Sebagai seorang selebriti yang menjadi penerbit, akan ada satu rasa seronok untuk promosikan karya itu.
“Kadang-kadang ada segelintir pelakon bila disuruh promosikan karya mereka akan mengeluh. Saya pula mahu ambil tanggungjawab itu dan lakukan tugas tersebut seikhlas mungkin,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Scha dan Awal secara rasmi diumumkan sebagai pengasas bersama platform e-dagang penstriman langsung, JAM, sekali gus menerajui usaha syarikat memperluaskan operasi ke pasaran pengguna berbahasa Melayu menerusi pelancaran JAM Bahasa.