Skip to main content

Berita Tempatan

Bukan Filem Horror Tipikal & Ada Aghniny Haque, Khadam Buat Remy Ishak Tidak Jadi Rehat Berlakon

khadam

Banyak yang pertama kali mengenai naskhah seram berjudul Khadam. Ini termasuklah kerjasama perdana rumah produksi Red Communications bersama Komet Productions.

Khadam juga merupakan projek horror pertama daripada Red Comm ; begitu juga Komet. Penulis skrip, Fariza Azlina Isahak atau Fizi pertama kali menghasilkan skrip filem seram yang tidak tipikal kerana disulam sarat emosi serta cerita kehidupan.

Advertisement

Dan di Khadam yang diarahkan sutradara prolifik, Shamyl Othman dengan latar belakang tahun 50-an aktor berkaliber, Datuk Remy Ishak ‘disandingkan’ bersama aktres hebat dari Indonesia, Aghniny Haque. Melengkapkan filem yang menjalani penggambaran di Perak bermula 16 September ini adalah Jun Lojong, Siti Khadijah dan dua beradik, Zarra Zhaff serta Karl’ El.

“Khadam merupakan naskhah horror pertama berbahasa Melayu yang diterbitkan Red Communications bersama Komet. Orang boleh bercerita tapi menghasilkan skrip yang cukup universal dan ceritanya ‘mengembara’ menyentuh hati, ia adalah sangat mahal,” ujar Lina Tan.

Buat penulis skripnya, Fariza atau Fizi, Khadam ditulis pada tahun 2019 saat dirinya berasa ‘sangat tenggelam’ dengan perasaan terutama mengenai kehidupan seorang wanita dan tanggungjawab yang tiada penghujung.

“Dan sengaja ditulis dengan latar 50-an sebagai satu nostalgia kepada zaman silam saya,” katanya.

Paling menarik, Remy mengaku melupakan hasrat untuk berehat dari dunia lakonan kerana terlalu tertarik dengan skrip Khadam.

“Saya terlalu tertarik dengan skrip Khadam sehingga tidak boleh berhenti membaca. Jadi saya tarik balik keputusan untuk berehat dan saya mahu bermain di filem ini.

“Lagipun saya tidak tahu bila lagi akan berpeluang terlibat dengan produksi hebat Red Comms dan Komet.

“Apa lagi apabila diberitahu heroin saya adalah Aghniny Haque. Jadi terus setuju,” katanya.

Aghniny Haque pula yang cukup popular menerusi filem-filem seram Indonesia seperti KKN Di Desa Penari, Qarin dan Pemandi Jenazah melahirkan keterujaan setelah dilamar terlibat dalam Khadam.

“Ini penampilan pertama saya dalam filem Malaysia dan saya sangat teruja. Saya mahu pastikan Khadam menjadi filem yang akan dikenang dengan baik,” katanya Aghniny.

Kesemua pelakon dan tim Khadam ditemui pada majlis memperkenalkan judul filem yang diadakan di LYF Hotel Chinatown, Kuala Lumpur.

Must-Watch Video

Advertisement