Sekilas
- Edika Yusof menjelaskan hantaran Instagram Storynya bukan tanda bergaduh dengan anak, tetapi luahan perasaan seorang bapa yang sedih apabila anak memilih tinggal bersama saudara.
- Edika mengakui rasa kehilangan kerana sudah memberikan yang terbaik sejak kecil, namun anaknya mahu kebebasan dengan menetapkan had tertentu.
- Isu tersebut sudah selesai dan hubungan mereka kembali baik, dengan Edika menasihati anak-anak supaya menghargai ibu bapa dan tidak mengambil mudah hubungan keluarga.
Pelakon, Edika Yusof tampil menjelaskan maksud sebenar di sebalik hantaran Instagram Story yang pernah dimuat naik berhubung pengorbanan ibu bapa terhadap anak.
Menurut Edika, 58, perkongsian itu bukanlah tanda dia bergaduh dengan anak, sebaliknya hanya sekadar luahan perasaan seorang bapa yang sedih apabila anak memilih untuk keluar rumah dan tinggal bersama saudara lain.
“Saya bukan bergaduh pun dengan anak. Cuma kadang-kadang bila anak dah besar, mereka nak duduk luar atau tinggal dengan saudara. Itu yang buat kita terasa.
“Kita dah besarkan, dah ajar dari kecil, tapi bila mereka buat keputusan sendiri… kita sebagai ibu bapa memang akan rasa sedikit sedih," ujarnya.
Edika turut menjelaskan pemergian anaknya ketika itu membuatkan dia berasa sedikit kehilangan kerana merasakan sebagai bapa, dia sudah memberikan yang terbaik sejak kecil.
“Kadang-kadang kita besarkan anak, ajar, tapi bila sampai usia tertentu, mereka nak tinggal luar.
“Saya sedih sebab kita dah buat yang terbaik, tapi mereka rasa tak cukup. Mereka nak kebebasan, tapi kalau terlalu bebas pun tak elok dalam proses membesar.
“Bukannya tak bagi keluar. Boleh… tapi ada limit. Itu saja saya nak sampaikan.
“Saya dengan anak macam kawan. Umur pun dah lebih 20. Cuma kadang-kadang bila mereka buat keputusan sendiri, kita sebagai ibu bapa akan terasa kehilangan,” katanya.
Jelas Edika, isu tersebut bagaimanapun sudah selesai dan hubungan mereka kembali baik seperti sebelumnya.
“Isu tu dah selesai. Dia (anak) dah balik dah pun. Saya cuma tulis sesuatu sebagai peringatan kepada semua ibu bapa. Masa tu saya down sikit, jadi saya luahkan saja.”
Edika berkata, luahan itu bukan ditujukan khusus kepada anaknya, tetapi sebagai peringatan umum agar anak-anak tidak mengambil mudah hubungan dengan ibu bapa.
“Jangan ingat ibu bapa ni hanya untuk besarkan dan bagi apa yang kita nak. Lepas tu terus pergi.
“Lebih baik rapat dengan ibu bapa. Kita tak tahu bila hari terakhir kita dapat tengok mereka,” tambahnya.
Sebelum ini, Edika menerima perhatian selepas memuat naik swafoto bersama kapsyen menyentuh mengenai pengorbanan ibu bapa, yang disifatkan netizen sebagai luahan hati seorang ayah yang terluka.
Edika dan Hidayah mendirikan rumah tangga pada 2003 dan selain Fardeen mereka juga dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Fareena Nurulhaq, 20 tahun.
Hidayah juga memiliki seorang lagi cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu iaitu Nazirul Afiq, 27 tahun.
Hidayah bagaimanapun pernah memfailkan perceraian terhadap Edika pada pertengahan Februari lalu.
Mereka kemudiannya sah bercerai talak satu pada 5 Mei 2025 sebelum memilih untuk rujuk kembali ketika tempoh idah.