Sekilas
- Datuk Seri Vida mengakui ada perbincangan awal bersama Datuk Fazley Yaakob untuk membawa hubungan mereka ke fasa lebih serius, namun masih mahu mengenali hati budi masing-masing.
- Vida menafikan dakwaan hubungan mereka sekadar gimik dan menegaskan keakraban mereka adalah ikhlas serta sesuatu yang besar akan berlaku nanti.
- Vida percaya orang tertarik dengan hubungan mereka kerana kejujuran dan keikhlasan, bukan untuk mencipta sensasi atau menarik perhatian semata-mata.
Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida mengakui adanya perbincangan serius yang dibuat bersama penyanyi, Datuk Fazley Yaakob mengenai kemungkinan untuk membawa hubungan mereka ke fasa yang lebih serius.
Walau bagaimanapun, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman berkata, perbincangan tersebut masih berada di fasa awal kerana masih mahu mengenali hati budi masing-masing.
“Ada (bincang fasa seterusnya) tetapi berbincang lebih dalam itu tak lagi. Kena bagi masa, banyak perancangan kena buat dan perlu difikirkan.
“Fasa demi fasa, tapi normal kan kalau dua orang bermesyuarat mesti ada bincang-bincang juga.
“Yang bahagian (fasa seterusnya) belum lagi secara mendalam. Kita mengenai hati budi, boleh ke terima cara saya bekerja dan kontroversi saya,” katanya kepada Gempak.
Vida berkata demikian kerika ditemui pada konsert minggu ketiga Big Stage X Rocketfuel pada Ahad.
Dalam masa yang sama, Vida turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan hubungannya bersama Fazley sekadar gimik.
“Bukan gimik, yang benar itu. Dalam siaran langsung macam buat mesra tetapi bukan buat-buat ya.
“Memang mesra betul dan sesuatu yang besar akan berlaku nanti.
“Mungkin orang fokus kepada kami kerana rasa macam fenomena saya dan Fazley. Pelik kot orang tua bercinta,” katanya lagi.
Mengulas pula mengenai kritikan yang dikeluarkan segelintir netizen, Vida memaklumkan bahawa dia percaya orang ramai tertarik dengan hubungan tersebut kerana kejujuran yang dipamerkan dan bukanlah disebabkan kerana untuk mencipta sensasi.
“Apa yang nak geli? Saya berniaga, apa yang berlaku saya berniaga tetapi selebihnya datang secara semulajadi daripada hati.
“Bukan kata saya buat macam-macam untuk menarik perhatian orang untuk tengok.
“Orang tengok sebab apa? Saya rasa kejujuran dan keikhlasan yang lahir daripada saya dan Fazley,” ujarnya.
Terdahulu, hubungan Vida dan Fazley menjadi perhatian ramai selepas beberapa video memaparkan keakraban mereka tular di media sosial susulan penyertaan mereka dalam TTMM2.
Malah, Fazley sebelum ini turut mendedahkan dia sudah meluahkan perasaan sayangnya terhadap Vida pada hari yang dianggap istimewa dalam kalendar Islam.