Sekilas
- Haqiem Rusli kini bergerak secara bebas di bawah syarikat pengurusannya sendiri, Haqiem Rusli Entertainment, selepas 10 tahun bersama FMC Music.
- Isterinya, Anis Sofea, memainkan peranan penting sebagai penasihat utama dalam pengurusan kerjaya dan perniagaan Haqiem.
- Single terbaru Haqiem, "Katamu Sekejap", adalah projek sulungnya secara independent dan menjadi lagu runut bunyi drama Sepenuh Hari Rindu di TV3.
Selepas sedekad membina nama dalam industri muzik bersama FMC Music, penyanyi dan komposer Haqiem Rusli akhirnya mengambil keputusan untuk bergerak secara bebas di bawah syarikat pengurusannya sendiri, Haqiem Rusli Entertainment.
Haqiem, 28, berkata, keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah memandangkan dia sudah mempunyai hubungan rapat dengan pihak pengurusan serta seluruh tenaga kerja syarikat rakaman berkenaan.
Bagaimanapun, pelantun lagu ‘Lembah Kesepian’ itu merasakan sudah tiba masanya untuk mencuba sesuatu yang baharu, selain menikmati kebebasan lebih luas dalam menentukan hala tuju kerjaya seninya.
“Bukan mudah untuk buat keputusan ini kerana saya memang sayang FMC dan sudah rapat dengan seluruh tenaga kerja di sana.
“Namun, atas nasihat rakan-rakan, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mencuba bergerak sendiri dan membuat keputusan sendiri,” katanya.
Haqiem berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, ‘Katamu Sekejap’, yang juga menjadi projek sulungnya selepas bergerak secara bebas sejak lebih sebulan lalu.
Dalam masa sama, penyanyi itu turut merakamkan penghargaan kepada FMC Music yang banyak membantunya sejak awal pembabitan dalam industri hiburan.
“Projek lagu Katamu Sekejap ini adalah projek pertama saya secara independent. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada FMC Music kerana selama 10 tahun mereka menguruskan kerjaya dan membantu saya dari awal kemunculan sehinggalah ke hari ini,” ujarnya.
Menariknya, Haqiem mendedahkan isterinya, Anis Sofea kini memainkan peranan penting sebagai penasihat utama dalam pengurusan kerjaya dan perniagaannya.
Malah, dia mengakui amat mengagumi pemikiran kritis isterinya yang banyak membantu dalam membuat keputusan penting.
“Isteri saya banyak menolong dan memberi nasihat terutamanya dari segi decision making (membuat keputusan). Pemikiran kritikalnya sangat saya puji.
“Kalau sebelum ini semuanya diuruskan oleh FMC, kini isteri lah penasihat terdekat yang banyak membantu saya untuk bergerak sendiri,” katanya.
Mengulas cabaran menguruskan kerjaya tanpa syarikat rakaman, Haqiem tidak menafikan bahawa dia kini perlu memberikan perhatian terhadap pelbagai aspek termasuk kewangan, operasi serta perancangan kandungan.
Namun, dia dan isteri sudah membuat persediaan lebih awal termasuk mendapatkan khidmat akauntan serta membentuk pasukan yang boleh membantu perjalanan kerjayanya.
“Bergerak solo ini ada kebaikan dan keburukannya, malah ada bahagian yang agak sukar. Jika lima tahun lepas mungkin saya rasa takut, tetapi sebelum membuat keputusan ini saya dan isteri sudah berbincang serta mendapatkan khidmat akauntan dan pasukan perancangan kandungan kami sendiri.
“Jadi buat masa sekarang, saya boleh katakan saya sudah bersedia sepenuhnya dari semua aspek untuk bergerak secara independent,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Haqiem turut merancang untuk mengembangkan Haqiem Rusli Entertainment dengan membawa adiknya menyertai syarikat berkenaan.
“Insya-Allah, mungkin tahun ini atau tahun depan saya mahu membawa adik masuk semula. Dia juga pernah bersama FMC Music dan saya merancang membina sesuatu yang baharu.
“Selepas itu, adik saya akan menjadi artis pertama di bawah syarikat sendiri, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, single ‘Katamu Sekejap’ merupakan hasil kolaborasi Haqiem bersama penerbit drama Jaja Ishak dan dipilih sebagai lagu runut bunyi drama Sepenuh Hari Rindu.
Drama bersiri 20 episod tersebut dijadualkan bersiaran mulai 27 Oktober ini menerusi slot Samarinda di TV3, menampilkan Farah Nabilah, Shahz Jaszle, Razzuan Rosli, Syafie Naswip dan Raja Azmi.
Sumber: Harian Metro dan Berita Harian